Bola Sepak

MPFL Wanita: Sebahagian pemain Kuala Lumpur ‘merempat’ dan tak dibayar gaji?!


Oleh: SURYATI MOHD NOR

KEKALAHAN besar pasukan futsal wanita Kuala Lumpur yang dibelasah Melaka 26-0 pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Wanita pada Khamis sebenar ada kisah lain di sebaliknya itu.

Apa yang boleh dikatakan isu yang sangat mengecewakan kerana jika sebelum kita hanya mendengar kisah kebajikan pemain-pemain bola sepak dianiaya dalam Liga Malaysia dengan isu gaji dan sebagainya.

Namun ‘penyakit’ itu telah berjangkit kepada skuad futsal wanita Kuala Lumpur yang dikhabarkan mendapat layanan yang sangat menyedihkan sepanjang menyertai MPFL ini.

Menurut sumber, pemain-pemain yang kebanyakan dari Utara ini dinafikan kebajikan mereka sepanjang menyertai liga ini, dan lebih malang lagi pengurus mereka dikatakan telah ‘melarikan diri’.

Malah kekalahan 0-26 itu bukan disebabkan semua pemain dijangkiti Covid-19, sebaliknya 16 pemain utama ‘memboikot’ tidak mahu beraksi gara-gara isu dalaman bersama pengurusan.

“Sebelum ini mereka juga hampir dihalau dari tempat penginapan di sebuah ‘homestay’, tetapi pemain-pemain masih berdiam diri kerana mahu meneruskan saingan.

 

“Gaji yang dijanjikan (kontrak) untuk sertai liga ini lebih kurang RM1400 seorang tidak dibayar sehingga sekarang. Mereka terpaksa menggunakan duit sendiri untuk tanggung kos perjalanan, makan dan minum .

“Ada di antara mereka yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana ditawarkan dengan kontrak yang baik sebelum aksi liga bermula.

“Malah pemain-pemain ada pergi bertemu dengan pengurusan KLFA, namun belum nampak jalan penyelesaian…,” kongsi sumber kepada CAKAP SUKAN.

Sehingga petang ini, kesemua pemain terpaksa menumpang di rumah rakan-rakan mereka di sekitar Selangor sebelum pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat ini.

Sebagai rekod, MPFL Wanita yang bermula 8 hingga 23 Mac ini menyaksikan enam pasukan bertanding dalam format liga dua pusingan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: