Bola Sepak • Terkini

SMK Seri Kota lakar sejarah mara ke pentas final


SMK Seri Kota mencipta kejutan apabila melangkah ke final Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2026 bersama rakan strategik 100PLUS buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka selepas menyingkirkan SMK Shah Alam dalam aksi separuh akhir semalam.

Kejayaan itu turut melakar pencapaian terbaik pasukan berkenaan selepas rekod terdahulu mereka hanya mampu mara sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2016.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Radia Arena, Bukit Jelutong, Shah Alam, SMK Shah Alam terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Adam Zakwan Mohd Rhadzi di penghujung babak pertama untuk mendahului 1-0 .

Bagaimanapun, SMK Seri Kota enggan mengalah apabila bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Muhamad Adam Haikal Mohd Fuad pada minit ke-69.

Tiada jaringan tambahan sehingga tamat perlawanan masa tambahan memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. SMK Seri Kota akhirnya muncul pemenang dengan keputusan 4-3 untuk mengesahkan kemaraan ke pentas final.

Penjaga gol SMK Seri Kota, Cik Muhammad Syahir bin Cik Kaziki, muncul wira pasukan apabila berjaya menafikan dua sepakan penalti pemain SMK Shah Alam, sekali gus memainkan peranan penting dalam kemenangan dramatik tersebut.

Ketua jurulatih SMK Seri Kota, Mohd Saiful Mustafa, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kerja keras pemain yang tetap berjuang meskipun berdepan pelbagai kekangan. Pemain pemain juga menyedari kelebihan lawan dari segi penguasaan bola, justeru mereka menggunakan kekuatan fizikal serta situasi bola mati untuk mencari ruang menghasilkan jaringan penyamaan.

“Alhamdulillah, ini adalah hasil usaha dan kerja keras pemain. Kami mempunyai banyak kekangan tahun ini, termasuk masalah padang yang sedang dinaik taraf sehingga kami tidak mempunyai padang sendiri untuk menjalani latihan. Namun, pemain terus bekerja keras dan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan sejak awal musim,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol SMK Seri Kota, Muhammad Syahir bin Cik Kaziki, mengakui berasa bangga apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti, terutama selepas pasukannya bangkit menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan.

“Perasaan saya sangat bangga kerana dapat menyelamatkan dua sepakan penalti. Apabila berjaya menyelamatkan sepakan terakhir dan pasukan menang, saya berasa sangat gembira,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih SMK Shah Alam, Muhammad Al-Fateh Abdul Aziz, mengakui pasukannya gagal mengekalkan kelebihan selepas dibolosi pada minit-minit terakhir akibat kelemahan komunikasi antara penjaga gol dan barisan pertahanan.

“Selepas tamat separuh masa pertama, kami meminta pemain terus menyerang dan menguasai bola. Namun, masalah kurang fokus pada dua hingga tiga minit terakhir menyebabkan kami dibolosi menerusi situasi sepakan percuma. Terdapat masalah komunikasi antara penjaga gol dan barisan pertahanan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tetap memuji komitmen pemain yang terus berusaha mendapatkan semula penguasaan bola dan memberikan reaksi positif sepanjang perlawanan, selain berharap mereka terus memperbaiki kematangan serta keupayaan membuat keputusan di atas padang.

SMK Seri Kota kini akan menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara juara bertahan, SMK Taman Desa Skudai B14, dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 Tahun untuk menentukan lawan mereka pada perlawanan akhir.


Add Comment

Click here to post a comment