
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menaikkan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi setiap atlet pemenang pingat emas acara berpasukan di Sukan Asia / Para Asia dan Sukan Komanwel daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang, iaitu kenaikan 166.67%.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penambahbaikan ini telah dipersetujui oleh Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 10 November 2026 dimana ganjaran setiap atlet pemenang pingat perak acara berpasukan turut dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala pingat gangsa daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.
“Kadar baharu ini terpakai kepada semua pasukan tanpa mengira bilangan atlet. Ini merupakan kenaikan pertama kadar ganjaran acara berpasukan dalam tempoh 24 tahun, sejak ia ditetapkan pada tahun 2002.
Kadar baharu ini terpakai kepada pemenang pingat ketiga-tiga temasya 2026, iaitu Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya,” katanya.
Tambahnya lagi, seramai 66 atlet daripada 10 pasukan pemenang pingat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan menerima bayaran tambahan, melibatkan sukan sepak takraw (emas regu berpasukan dan perak regu), skuasy (emas berpasukan lelaki dan wanita), hoki (perak lelaki), berbasikal trek (perak pecut berpasukan wanita), karate (gangsa kata berpasukan lelaki) dan e-sukan (perak Honor of Kings serta gangsa Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang).
“Penambahbaikan ini melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM1,152,000, termasuk insentif jurulatih di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR).
“Dengan itu, jumlah ganjaran bagi ketiga-tiga temasya 2026 meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta, manakala jumlah SHAKAM 2026 meningkat kepada RM6.69 juta, tahun kedua tertinggi sejak skim ini diperkenalkan pada 1986,” ujarnya.
Jelasnya, dalam sukan berpasukan, tiada pingat dimenangi seorang diri. Setiap pemain berlatih, berkorban dan berjuang sama hebat dengan juara individu, dan mereka wajar dihargai dengan setimpal.
“Kenaikan ini adalah tanda penghargaan Kerajaan kepada atlet acara berpasukan yang telah mengharumkan nama negara sepanjang 2026, dan suntikan semangat buat mereka menjelang Sukan SEA 2027 di tanah air,” katanya.






Add Comment