
Keputusan itu menjadi kebangkitan positif buat pelumba kelahiran Terengganu tersebut selepas melalui dua pusingan mencabar di GP Indonesia dan GP Australia.
Hakim Danish mempamerkan prestasi konsisten sepanjang minggu perlumbaan, bermula dengan catatan kelima terpantas dalam sesi Latihan Bebas 1 (FP1) menerusi masa 2:11.834 sebelum meraih petak ketiga dalam sesi Kelayakan 2 (Q2) dengan catatan 2:10.529.

Kejayaan memulakan perlumbaan dari barisan hadapan itu turut menjadi pencapaian bermakna buat Malaysia selepas 14 tahun, mengulangi kejayaan mentornya, Zulfahmi Khairuddin pada 2012.
Dalam perlumbaan Ahad, Hakim Danish memberikan saingan sengit dalam perebutan podium bersama Veda Pratama (Honda Team Asia) dan Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo), malah pernah berada di kedudukan kedua.
Bagaimanapun, percubaan terakhirnya untuk merebut podium di selekoh terakhir tidak membuahkan hasil selepas sedikit tersasar.
Beliau menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan 33:12.044, hanya 0.226 saat di belakang Carpe. Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) pula muncul juara.
Keputusan itu memberikan 13 mata tambahan kepada Hakim Danish, menjadikan kutipan keseluruhan musim ini sebanyak 116 mata dan meletakkannya di tangga kesembilan Kejuaraan Dunia Moto3.
Dalam carta kejuaraan, Quiles terus mendahului dengan 376 mata, diikuti David Almansa (228 mata), manakala Brian Uriarte dan Carpe berkongsi 205 mata. Pratama pula berada di tangga ketujuh dengan 131 mata.
Hakim Danish kini akan memberikan tumpuan kepada baki tiga pusingan musim ini, bermula dengan GP Qatar di Litar Antarabangsa Lusail pada hujung minggu depan.
ZK Racing merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AEON Credit, semua rakan penaja dan kerjasama pasukan serta seluruh penyokong tanah air yang hadir memberikan sokongan padu kepada Hakim Danish sepanjang minggu perlumbaan. Sokongan anda amat bermakna buat pasukan dan pelumba kami.









Add Comment