
STADIUM Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri dipilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2026–2027 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 Januari 2027.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan media memaklumkan keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 pada 3 November 2026 .
Keputusan ini berikutan TM Stadium Nasional tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja menaik taraf padang, trek balapan dan fasiliti sedang dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA 2027.
“Berdasarkan pengesahan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), kerja-kerja naik taraf itu dijangka siap pada Mei 2027.
“Oleh hal demikian, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk memilih SSI sebagai venue final Piala FA dengan mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran perlawanan akhir berprestij itu, termasuk keadaan permukaan padang.
“Pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta fasiliti stadium yang merangkumi pentas utama, corporate suite, akses ke stadium, aspek keselamatan serta operasi produksi siaran langsung,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan berkapasiti 35109 penonton serta fasiliti lengkap dan terbaik menjadikan SSI adalah venue pilihan selepas penutupan TM Stadium Nasional bagi acara sukan ketika ini.
“Malah reputasi SSI sebagai venue bertaraf antarabangsa juga menjadi antara faktor pemilihan ini di mana stadium itu pernah menganjurkan perlawanan melibatkan Harimau Malaya antaranya ketika menentang Palestin bagi aksi persahabatan tier 1 pada 8 September 2025 dan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada 25 Mac 2025,” katanya.
Untuk rekod, SSI juga pernah menjadi venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 2-0 pada 22 Julai 2023.
Justeru, penganjuran Perlawanan Akhir Piala FA 2026–2027 di SSI bakal menyaksikan stadium berkenaan sekali lagi menjadi pentas pertembungan dua pasukan terbaik yang akan berentap bagi merebut trofi kejuaraan.
MFL berharap pemilihan SSI sebagai gelanggang perlawanan akhir dapat memberikan pengalaman terbaik kepada kedua-dua pasukan dan penyokong yang akan hadir menyaksikan aksi kemuncak Piala FA itu nanti.








Add Comment