Antarabangsa • Bola Sepak • Terkini

FAM, Yes dan Ryt Bank jalin kerjasama Demi Bola Sepak Malaysia


PERSATUAN  Bola Sepak Malaysia (FAM), Yes, dan Ryt Bank mengumumkan satu kerjasama yang bertujuan untuk mendekatkan rakyat Malaysia dengan sukan bola sepak serta menyokong pembangunan sukan kebangsaan ini.

Di bawah tema “Demi Bola Sepak Malaysia”, FAM, Yes, dan Ryt Bank akan bekerjasama untuk meraikan peranan bola sepak dalam menyatukan rakyat Malaysia merentasi pelbagai komuniti dan generasi, di samping mewujudkan peluang baharu bagi penyokong dan pemain yang berpotensi untuk terlibat dalam sukan ini.

Kerjasama ini akan memanfaatkan keupayaan kedua-dua jenama tersebut, termasuk ketersambungan 5G termaju daripada Yes serta perkhidmatan perbankan digital daripada Ryt Bank.

Gabungan perkhidmatan ini bertujuan menjadikan pengalaman bola sepak lebih mudah diakses, saling terhubung, dan lebih bermakna, sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Presiden FAM, Dato’ Ab Ghani Hassan, berkata, bola sepak merupakan sumber kebanggaan negara dan minat yang dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

“FAM mengalu-alukan Yes dan Ryt Bank sebagai Rakan Kongsi Utama (Title Partners) kami, dan berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuh ekosistem bola sepak, mendekatkan penyokong dengan sukan kebangsaan ini, serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk bakat-bakat baharu dalam komuniti kita”, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee memaklumkan setiap rakyat Malaysia mempunyai kisah bola sepak tersendiri, sama ada bermula di padang kampung mahupun di gelanggang futsal di bandar.

“Itulah makna ‘Demi Bola Sepak Malaysia’ bagi kami: pelbagai latar belakang, namun berkongsi kecintaan yang sama terhadap sukan ini.

“Melalui Yes, kami membawakan ketersambungan 5G termaju dan kecerdasan buatan (AI) lebih dekat kepada peminat, membolehkan mereka terus mengikuti perkembangan aksi bola sepak di mana sahaja mereka berada.

“Dengan akses kepada ILMUchat—AI buatan Malaysia—melalui Pelan Pascabayar Yes AI, kami juga berharap dapat membantu rakyat Malaysia untuk belajar dan meneroka kemungkinan baharu, baik di dalam mahupun di luar padang.

“Kami ingin menyumbang lebih daripada sekadar tajaan, iaitu dengan menyokong komuniti serta generasi masa depan bola sepak Malaysia”, ujarnya pada majlis  menandatangani perjanjian hari ini.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment