Antarabangsa • Terkini

Patrick Mendoza Juara Perseorangan Menjelang Kemeriahan Hujung Minggu Paramount Cup di PARC Subang


PARAMOUNT Cup 2026 membuka tirai dengan aksi menarik apabila Patrick Ares Mendoza dari Filipina merangkul gelaran juara Perseorangan Lelaki Terbuka selepas menewaskan Kyle Stoker dari Australia dengan keputusan 11-8, 11-8, di PLAYA Racquet Club, PARC Subang.

Kemenangan pada hari pembukaan itu menjadi pembuka kepada hujung minggu yang menghimpunkan saingan pickleball antarabangsa dan kemeriahan festival untuk seisi keluarga di Subang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corporation Berhad, Beh Chun Chong berkata, sambutan terhadap Paramount Cup dalam tempoh hanya dua tahun amat menggalakkan, dengan penyertaan pemain dari 18 negara serta lebih banyak peluang untuk bakat muda bertanding.

Selain persaingan sukan, perkara yang paling bermakna bagi kami ialah bagaimana acara ini dapat menyatukan orang ramai.

Sebagai ‘The People’s Developer’, kami percaya nilai sesebuah tempat terletak pada apa yang kami bina serta bagaimana ruang itu mengeratkan hubungan komuniti dan mencipta pengalaman bersama. Paramount Cup merupakan salah satu cara kami merealisasikan falsafah ini, sekali gus memperkaya kehidupan komuniti di sekeliling kami,” kata , 

Meneruskan kejayaan edisi sulungnya, Paramount Cup yang berlangsung sehingga 25 Oktober menerima lebih 1,000 penyertaan dari 18 negara pada tahun kedua penganjurannya.

Kejohanan yang menjadi medan kelayakan APP Asia ini dikendalikan oleh pengarah kejohanan dari Australia, Matthew “Matt” Hort, yang berpengalaman menguruskan kejohanan di Australia dan rantau Asia Pasifik.

Antara pemain yang mengesahkan penyertaan ialah Kyle Stoker, Vanshik Kapadia, Roman Estareja, Connie Na Eun Lee, Anna Clarice Patrimonio dan Mihika Yadav.

Selain Malaysia, kejohanan ini turut menerima penyertaan dari Filipina, Vietnam, Australia, India, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Saingan junior pada Sabtu menampilkan lapan kategori merangkumi kumpulan umur bawah 10, 12, 14 dan 16 tahun. Acara perseorangan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.20 tengah hari, diikuti beregu dari 1.00 petang hingga 4.20 petang.

Bagi keluarga yang hadir, inilah peluang untuk anak-anak menyaksikan pemain sebaya mereka beraksi sambil memberikan sokongan kepada pemain pilihan.

Bermula 5.00 petang, saingan Beregu Lelaki dan Wanita Terbuka bagi kumpulan umur 19 tahun ke atas pula bakal menarik perhatian penonton hingga ke malam.

Saingan wanita dijadualkan berlangsung sehingga 8.40 malam, manakala saingan lelaki sehingga 9.40 malam. Gandingan berpengalaman akan menguji keserasian masing-masing menerusi rali pantas dan perubahan rentak permainan.

Pada Ahad, 25 Oktober, acara Beregu Campuran melibatkan lima kategori bermula pada 8.00 pagi. Bagi pengunjung yang merancang untuk hadir pada sebelah petang, saingan Beregu Campuran Terbuka bagi kumpulan umur 19 tahun ke atas dan 35 tahun ke atas bermula pada 5.00 petang dan dijadualkan berakhir pada 8.20 malam, menjanjikan aksi tumpuan pada hari terakhir kejohanan.



Add Comment

Click here to post a comment