Antarabangsa • Bola Sepak • Terkini

Jangan pergi sekadar untuk makan angin


“JANGAN  kita pergi sekadar untuk makan angin,” itulah kata-kata ringkas dan penuh bermakna dari Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Ab Ghani Hassan buat skuad Harimau Malaya B-15 kendalian P. Maniam yang akan berlepas ke Baku, Azerbaijan Khamis ini bagi menyertai Festival & Piala Dunia B-15 FIFA 2026 bermula 24 hingga 30 Oktober 2026.

Jelas Ab Ghani, usia 15 tahun ni adalah masa dan ketika untuk anda menunjukkan bakat dan mempunyai cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.

“Yang penting sekali adalah simpan dalam hati untuk mewakili negara kerana anda yang akan menjadi pelapis untuk membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Untuk Festival & Piala Dunia B-15 FIFA 2026 ini, format 8 sebelah dengan tempoh masa permainan 20 minit setiap separuh masa. Biarpun ia berbentuk festival, anda semua tetap perlu serius kerana apabila kita mewakili negara, maruah negara perlu dijaga. Jangan kita pergi sekadar untuk makan angin.

“Apabila turun ke padang, beri semua yang kita ada untuk buktikan yang kita mewakili Malaysia ini adalah satu perkara yang berbaloi.

“Tanam dalam fikiran dan letak di hati, kita bawa nama Malaysia, bukan nak pegi saja-saja. Buktikan kepada jurulatih, anda semua boleh lawan siapa saja,” tegasnya yang meluangkan masa bertemu para pemain dan pegawai pasukan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, setibanya  mereka dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.

Kem latihan pusat skuad Harimau Malaya B-15 telah bermula pada 16 Oktober lalu di AMD, dan mereka akan turun menjalani dua sesi latihan terakhir di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil,sebelum berlepas ke Azerbaijan pada Khamis.

Pertemuan itu memberi peluang kepada Ab Ghani untuk beramah mesra dengan para pemain dan barisan kejurulatihan, di samping mendapatkan gambaran secara lebih dekat mengenai persiapan terakhir pasukan sebelum mereka ke Azerbaijan.

Turut sama ialah Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee dan Pengurus Besar NFDP, Yusuf Ibrahim.

Di barisan kejurulatihan, Maniam dibantu oleh penolong ketua jurulatih, M. Lingeswaran; jurulatih penjaga gol, Norazlan Razali dan jurulatih kecergasan, Ahmad Radzi Mohd Salleh Raibi.

Skuad Harimau Malaya B-15 yang telah diundi dalam Kumpulan H akan membuka saingan berdepan Dominica pada Sabtu, 24 Oktober, diikuti dua perlawanan pada Ahad, 25 Oktober menentang Syria dan Ethiopia, disusuli dua lagi aksi pada Isnin, 26 Oktober 2026 bertemu Hungary dan Mexico.

Festival & Piala Dunia B-15 FIFA 2026 akan berlangsung di Hovsan Competition Complex, Baku dengan disertai sebanyak 191 pasukan negara yang dibahagikan kepada 24 kumpulan, dengan kedudukan dalam kumpulan itu bakal menentukan saingan Tahap A hingga F yang akan disertai pada baki saingan pada 28, 29 dan 30 Oktober 2026.


Tags

1 Comment

Click here to post a comment

  • The post made me reconsider one of my earlier assumptions about the subject. A short checklist at the end might make these suggestions even easier to use.