Antarabangsa • Permotoran • Terkini

RCB kembali warnai ke pentas EICMA 2026


JENAMA terkemuka Malaysia bagi alat ganti dan aksesori motosikal berprestasi tinggi RCB,  akan kembali ke EICMA untuk tahun keempat berturut-turut, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pengembangan jenama ini di peringkat antarabangsa.

Pameran Motosikal Antarabangsa (International Motorcycle Exhibition) edisi ke-83 ini akan berlangsung di Fiera Milano Rho dari 3 hingga 8 November 2026.

Pameran tersebut akan dibuka kepada pihak media dan profesional industri pada 3 dan 4 November, sebelum dibuka kepada orang ramai dari 5 hingga 8 November.

Penyertaan berterusan RCB dalam salah satu pameran motosikal paling berpengaruh di dunia ini mencerminkan kehadiran globalnya yang semakin berkembang, serta komitmen jangka panjangnya untuk membangunkan penyelesaian berprestasi bagi pasukan perlumbaan profesional, rakan kongsi industri, dan penunggang motosikal harian.

Kini, RCB telah bertapak di lebih daripada 25 buah negara, dengan operasi yang merangkumi Asia dan Eropah. Produk serta kepakaran teknikal jenama ini mendapat kepercayaan daripada pasukan perlumbaan profesional, peserta kejohanan, dan penunggang di seluruh dunia.

Berbekalkan pengalaman selama lebih tiga dekad, RCB akan mempamerkan inovasi terkini dalam kategori roda, sistem suspensi, komponen brek, penyelesaian casis, dan aksesori motosikal.

Pameran ini akan mengetengahkan bagaimana RCB menterjemahkan pengalaman dalam sukan permotoran, pengetahuan kejuruteraan, dan reka bentuk kontemporari kepada produk yang menawarkan kawalan, keyakinan, dan prestasi yang lebih baik—sama ada di litar perlumbaan mahupun di jalan raya.

Pengurus Besar Jenama RCB, Marcus Leong berkata, kembali ke EICMA untuk tahun keempat berturut-turut merupakan satu pencapaian bermakna bagi RCB, sekali gus mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam mengembangkan jenama ini ke peringkat antarabangsa.

“EICMA menyediakan platform penting bagi kami untuk memperkenalkan inovasi terkini, mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi global, serta berinteraksi secara langsung dengan golongan profesional industri.

“Paling utama, ia membolehkan kami menunjukkan bagaimana pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh melalui sukan permotoran terus mempengaruhi produk yang kami bangunkan untuk komuniti penunggang yang lebih luas,” ujarnya.

Di EICMA 2026, RCB akan mempamerkan pelbagai inovasi prestasi terkini, termasuk Fork Hadapan Siri FD untuk Yamaha XMAX dan NVX, cakera brek terapung aloi S2+ ICE, pam brek utama (master pump) karbon baharu, serta koleksi cenderamata RCB terkini.

Para pengunjung juga berpeluang menikmati pratonton eksklusif produk-produk akan datang yang belum dilancarkan secara rasmi, sekali gus memberikan gambaran awal mengenai generasi seterusnya dalam pembangunan kejuruteraan dan reka bentuk RCB.

Sepanjang pameran berlangsung, pengunjung boleh meneliti produk-produk tersebut dengan lebih dekat, berinteraksi dengan wakil RCB, serta menyertai pelbagai aktiviti istimewa di reruai RCB. Produk-produk prestasi terpilih daripada UMA Racing turut akan ditampilkan di reruai RCB.

Pameran UMA Racing ini akan melengkapkan kepakaran RCB dalam sistem casis, suspensi, dan brek melalui pelbagai komponen enjin serta prestasi kuasa, sekali gus memberikan pengunjung perspektif yang lebih luas mengenai inovasi dan keupayaan Malaysia dalam industri prestasi motosikal.

Bagi memeriahkan lagi program pameran, RCB akan menampilkan kehadiran penunggang istimewa, iaitu penunggang aksi (stunt rider) antarabangsa Rok Bagoroš, berserta sesi ramah mesra sepanjang acara berlangsung. Jadual penuh bagi penampilan dan aktiviti-aktiviti tersebut akan diumumkan melalui saluran komunikasi rasmi RCB.


Add Comment

Click here to post a comment