Antarabangsa • Permotoran • Terkini

Hakim Danish pamer kebangkitan, raih dua mata berharga di Grand Prix Indonesia


HAKIM DANISH menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix Indonesia di kedudukan ke-14 selepas satu perlumbaan yang penuh dengan aksi dan cabaran di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika.

Bermula dari petak terakhir susulan penalti yang diterima selepas sesi kelayakan, Hakim Danish menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila melakukan permulaan yang baik dan terus memperbaiki kedudukan seawal pusingan pertama.

Pelumba berusia 19 tahun itu berjaya bergerak ke kedudukan ke-21 pada pusingan pertama sebelum memintas lima pelumba lagi pada pusingan berikutnya untuk berada di tempat ke-16.

Rentak positif itu diteruskan apabila beliau memasuki zon pungutan mata di kedudukan ke-15 pada pusingan ketiga.Hakim Danish kemudiannya mempamerkan tunggangan yang konsisten dan berjaya mengekalkan kedudukan ke-12 dari pusingan ke-10 sehingga pusingan ke-18.

Menjelang penghujung perlumbaan, beliau turut berjaya menembusi kelompok 10 terbaik dan berada dalam posisi untuk memburu keputusan yang lebih baik.

Bagaimanapun, ketika memasuki pusingan terakhir, Hakim Danish mengalami kehilangan cengkaman pada bahagian hadapan jenteranya ketika di selekoh, menyebabkan beliau bertembung dengan pelumba Joel Kelso dari GRYD Racing.

Walaupun insiden tersebut menyebabkan beliau kehilangan beberapa kedudukan, Hakim Danish berjaya meneruskan perlumbaan dan melintasi garisan penamat di kedudukan ke-12.

Namun, penalti masa tiga saat yang dikenakan sebagai gantian kepada penalti long lap menyaksikan beliau secara rasmi diklasifikasikan di tempat ke-14.

Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish mengutip dua mata di GP Indonesia dan kini mengumpul 107 mata keseluruhan, sekali gus berada di kedudukan kesembilan dalam klasifikasi keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3.

Perlumbaan GP Indonesia dimenangi oleh pendahulu kejuaraan dari Sepanyol, Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, diikuti David Almansa daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP di tempat kedua dan Brian Uriarte di tempat ketiga.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment