Bola Sepak • Harimau Malaya • Terkini

Bekas jurulatih Kelantan dan JDT kini dilantik Ketua jurulatih Harimau Malaya


BEKAS pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Bojan Hodak dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim.

Perkhabaran ini disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memaklumkan pelantikan jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia itu dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam arena bola sepak, khususnya di rantau Asia Tenggara, selain rekod pencapaian cemerlang sepanjang karier kejurulatihannya bersama beberapa kelab dan pasukan kebangsaan.

Bojan Hodak bukanlah nama asing dalam landskap bola sepak Malaysia apabila pernah membimbing beberapa kelab tempatan termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, selain pernah mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun dari 2017 hingga 2019.

Antara pencapaian terbesar beliau di Malaysia adalah ketika membimbing Kelantan muncul juara tiga kejuaraan utama pada 2012 iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau turut membawa JDT menjuarai Liga Super 2014 dan turut mencipta sejarah tersendiri apabila membawa Kuala Lumpur City FC menjuarai Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala AFC 2022.

Di pentas antarabangsa, jurulatih berusia 55 tahun itu berjaya membantu skuad Malaysia Bawah 19 Tahun muncul juara Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Surabaya, Indonesia.

Bojan Hodak turut mempunyai pengalaman membimbing kelab Kemboja, Phnom Penh Crown dan kelab Indonesia, PSM Makassar. Terbaharu, beliau mengemudi kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung dan berjaya mencatat kejayaan meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh penglibatannya bersama kelab tersebut.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pemilihan Bojan Hodak dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta rekod pencapaiannya yang membuktikan beliau mempunyai keupayaan untuk membimbing pasukan kebangsaan.

“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.

“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.

“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya.

Sebelum pelantikan Bojan Hodak, pada 25 Jun 2026, FAM telah mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim bagi menggantikan Peter Cklamovski yang telah ditamatkan kontrak melalui persetujuan bersama antara beliau dan FAM, berkuat kuasa pada 16 Jun 2026.

FAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Cheng Hoe atas kesediaan beliau menerima tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Interim serta segala komitmen, usaha dan khidmat yang telah dicurahkan sepanjang tempoh mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Sehubungan itu, Tan Cheng Hoe akan meneruskan khidmat bersama FAM dengan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya. Dalam kapasiti tersebut, beliau akan terus menyumbang pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi membantu memperkukuh pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.

FAM menghargai profesionalisme dan sumbangan beliau serta berharap pengalaman luas Tan Cheng Hoe dalam arena bola sepak akan terus memberikan manfaat kepada pembangunan bola sepak negara.


Add Comment

Click here to post a comment