
MALAYSIA bakal melakar sejarah baharu dalam arena sukan antarabangsa apabila buat pertama kali menghantar enam atlet pekak negara untuk beraksi pada temasya Winter Deaflympics 2027 di Innsbruck–Seefeld, Tirol, Austria dari 15 hingga 24 Januari 2027.
Lebih membanggakan, penampilan sulung itu menyaksikan Malaysia membuka lembaran baharu dalam penyertaan temasya sukan musim sejuk khusus untuk atlet pekak menerusi acara catur, sekali gus memperluaskan penyertaan negara dalam arena sukan pekak di peringkat dunia.
Enam atlet yang bakal membawa cabaran Malaysia ialah Leong Ee Hern, Loo Pin Xie, Ezwany Osman, Goh Sheng Wei, Yoshni Ramakrishnan dan Ainnur Asyikin Jupineh yang akan bersaing dalam acara catur pada temasya berkenaan.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr. Ong Shin Ruenn menyifatkan peluang bersejarah itu sebagai satu pencapaian penting dalam usaha mengangkat martabat atlet pekak negara serta membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, penyertaan tersebut bukan sekadar membawa enam atlet ke Austria, sebaliknya menjadi simbol kemajuan sukan orang pekak Malaysia yang terus berkembang dan berani meneroka peluang baharu dalam arena sukan dunia.
“Kami amat berbangga kerana Malaysia akhirnya berpeluang membuat penampilan sulung di Winter Deaflympics. Ini satu pencapaian yang cukup bermakna buat MSDeaf dan seluruh komuniti sukan pekak negara.
“Kami mahu membuktikan bahawa atlet pekak juga mempunyai kemampuan, bakat dan semangat untuk bersaing di peringkat tertinggi. Saya berharap peluang ini menjadi pembakar semangat kepada atlet untuk memberikan persembahan terbaik serta membawa nama Malaysia dengan penuh kebanggaan,” katanya.
Menurut beliau, penyertaan itu juga diharapkan mampu membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan pekak, khususnya generasi muda, untuk menceburi sukan secara kompetitif tanpa menjadikan kekurangan pendengaran sebagai penghalang mencapai impian.
Menariknya, Pasukan Catur Pekak Malaysia bukanlah sebuah pasukan yang baharu dalam arena antarabangsa apabila sebelum ini pernah menyertai 10th Asia Pacific Deaf Games 2024 di Kuala Lumpur, 2nd SEA Deaf Games 2025 di Jakarta, Indonesia serta Asia Pacific Deaf Multi Sports Championships 2026 di Pulau Pinang.
Pengalaman daripada kejohanan berkenaan menjadi asas penting dalam mempersiapkan atlet menghadapi cabaran lebih besar, selain memberi peluang kepada mereka menguji kemampuan menentang pemain dari pelbagai negara.
Kontinjen catur pekak negara akan diketuai Dr. Ong Shin Ruenn selaku Ketua Delegasi, dengan Dr. Zaidan Zulkipli bertindak sebagai Ketua Jurulatih. Beliau yang memiliki gelaran Candidate Master (CM) akan bertanggungjawab memastikan persiapan teknikal dan taktikal atlet berada pada tahap terbaik.
Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply pula akan bertindak sebagai Kapten Catur Pekak Malaysia, manakala Datuk Dr. Sarkunan Balakhrisnan dilantik sebagai Pengurus Pasukan bagi membantu penyelarasan dan pengurusan kontinjen sepanjang berada di Austria.
Bagi MSDeaf, penyertaan sulung ini membawa misi lebih besar daripada sekadar persaingan di papan catur, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh pembangunan sukan pekak, meningkatkan pengiktirafan atlet OKU serta membuktikan bahawa peluang dan sokongan yang sewajarnya mampu melahirkan atlet berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Penyertaan ke Winter Deaflympics 2027 diharap menjadi permulaan kepada lebih banyak pencapaian bersejarah buat sukan pekak Malaysia, sekali gus membuka jalan kepada generasi atlet seterusnya untuk terus mengharumkan nama negara tanpa batasan.
TAMAT






Add Comment