Terkini

MSN biayai sepenuhnya kos rawatan Hafizuddin

MSN juga akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang yang bersesuaian

KERAJAAN melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kecederaan dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, MSN akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan berkaitan insiden tersebut, termasuk rawatan susulan dan penginapan di wad sehingga beliau dibenarkan keluar hospital termasuklah elaun latihan Hafizuddin juga akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa.

“Saya menziarahi atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dimana Hafizuddin berada dalam keadaan baik dan kuat semangat.

“Saya turut bertemu ibu bapa dan ahli keluarga beliau serta menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan.

“Kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan berkaitan insiden tersebut, termasuk rawatan susulan dan penginapan di wad sehingga beliau dibenarkan keluar hospital,” ujarnya.

Tambahnya lagi, semakan MSN melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000.

“Hafizuddin juga layak menerima faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam PERKESO, berdasarkan anggaran PERKESO, beliau akan menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit, diikuti Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) sebanyak RM915.84 sebulan seumur hidup, serta bayaran pukal sekali gus sebanyak RM39,060.58.

“Beliau turut layak menerima Faedah Perubatan serta kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional,” katanya.

Jelasnya, bagi memudahkan keluarga menemani Hafizuddin sepanjang tempoh rawatan di HKL, MSN turut menyediakan penginapan dan makan di Casa MSN atau di lokasi lain yang difikirkan sesuai oleh keluarga.

“MSN juga akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang yang bersesuaian, termasuk dari aspek pemulihan, kaunseling dan peluang masa depan beliau, bagi memastikan kebajikan Hafizuddin terus terpelihara.

“Sama-sama kita doakan wira negara kita, Hafizuddin, agar terus tabah dan kuat sepanjang proses pemulihan. Saya juga memohon orang ramai menghormati privasi beliau dan keluarga sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment