Antarabangsa • Permotoran • Terkini

Bawa momentum Sepang ke Qatar, Hakim Danish tekad pamer peningkatan


ZK Racing optimis pelumba negara, Hakim Danish Ramli, mampu meneruskan momentum positif pada Grand Prix (GP) Qatar yang berlangsung hujung minggu ini, selepas mencatat keputusan membanggakan dengan menamatkan GP Malaysia di tempat keempat di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.

Pelumba kelahiran Terengganu itu kini bersedia memanfaatkan pengalaman beraksi di Litar Antarabangsa Lusail dalam usaha memburu keputusan lebih baik, sekali gus memperbaiki kedudukannya dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

Hakim Danish yang pernah beraksi di Litar Lusail selama dua musim menerusi saingan Asia Talent Cup percaya pengalaman tersebut mampu memberikan kelebihan, khususnya dalam memahami karakter litar yang terkenal dengan selekoh berkelajuan tinggi.

Malah, Danish turut mengakui lebih menggemari litar yang mempunyai banyak selekoh pantas dan berharap dapat memanfaatkan karakter litar berkenaan untuk memberikan saingan kepada kelompok hadapan.

Dari segi persiapan, Hakim Danish akan mengekalkan pendekatan yang sama seperti di Sepang dengan memberikan tumpuan untuk mendapatkan rentak seawal hari pertama, selain memastikan dirinya kekal tenang sepanjang sesi latihan bebas dan kelayakan.

Pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi juga tidak melakukan perubahan besar terhadap jentera, sebaliknya akan terus memberikan tumpuan kepada penambahbaikan tetapan motosikal bagi mendapatkan prestasi terbaik di Litar Lusail.

Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, berharap Hakim Danish mampu mengulangi prestasi kompetitif yang dipamerkan di Sepang dengan memberikan tumpuan kepada setiap sesi perlumbaan, bermula latihan bebas pada Jumaat.

Menurutnya, konsistensi dan keupayaan memanfaatkan setiap peluang sepanjang hujung minggu perlumbaan menjadi antara aspek penting dalam usaha mendapatkan keputusan positif di Qatar.

Dalam perkembangan kejuaraan, Hakim Danish kini berada di tangga kesembilan keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan mengumpul 116 mata selepas 19 pusingan perlumbaan.

Pelumba Sepanyol, Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) terus mendahului carta kejuaraan dengan 376 mata, diikuti David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) dengan 228 mata. Brian Uriarte dan Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) pula berkongsi 205 mata.

Hakim Danish hanya dipisahkan lima mata daripada Valentin Perrone yang berada di tangga kelapan dengan 121 mata. Justeru, GP Qatar menjadi peluang penting buat pelumba negara itu untuk mengutip mata tambahan dan memperbaiki kedudukannya dalam carta kejuaraan.

ZK Racing berharap Hakim Danish dapat meneruskan momentum positif di Qatar dan memberikan aksi terbaik dalam usaha menutup baki perlumbaan musim ini dengan keputusan yang membanggakan.


Add Comment

Click here to post a comment