BARISAN tiga pelumba muda negara, Muhammad Qayyim Razin Razali, Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi dan Muhammad Qabil Irfan Azlan, bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri menjelang saingan Kejuaraan Idemitsu Moto4 Asia Cup sempena Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada hujung minggu ini.
Ketiga-tiga pelumba di bawah program pembangunan bakat ZK Racing dan SIC Racing itu membawa misi untuk memburu keputusan positif di hadapan penyokong tempatan selepas mengharungi saingan mencabar pada pusingan terdahulu di Jepun dan Indonesia.
Dengan persiapan rapi yang telah dilakukan, Qayyim dan Naqib bersedia untuk kembali memberikan aksi terbaik, manakala perhatian turut terarah kepada kemungkinan kepulangan Qabil Irfan ke grid perlumbaan selepas terlepas dua pusingan berturut-turut di Motegi, Jepun dan Mandalika, Indonesia.
Qabil sebelum ini terpaksa berehat susulan kecederaan patah tulang tibia dan fibula pada kaki kiri akibat kemalangan ketika beraksi dalam Kejuaraan Moto4 European Cup di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, pada September lalu.
Selepas melalui tempoh pemulihan dan menjalani latihan intensif bagi membina semula stamina serta kekuatan kaki, keadaan Qabil kini menunjukkan perkembangan positif. Qabil juga telah memulakan sesi ujian menggunakan jentera tanpa mengalami kesakitan atau komplikasi.

Bagaimanapun, penyertaannya pada GP Malaysia masih tertakluk kepada pemeriksaan perubatan yang dijadualkan berlangsung esok serta keputusan rasmi pihak berkuasa perlumbaan bagi menentukan sama ada cergas untuk beraksi.
ZK Racing berharap ketiga-tiga pelumba negara dapat memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sepanjang musim ini untuk memberikan saingan terbaik di Sepang. Sekiranya mendapat pelepasan perubatan, kepulangan Qabil bakal menjadi suntikan semangat tambahan buat pasukan dalam misi memburu keputusan membanggakan di hadapan penyokong sendiri.

Dengan sokongan padu peminat tempatan, ketiga-tiga pelumba muda negara kini bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dan mengharumkan nama Malaysia pada pentas Moto4 Asia Cup.











Add Comment