Antarabangsa • Bola Sepak • Terkini

Kelayakan Piala Asia B-17 2027; Menyarung jersi Malaysia satu penghormatan

Jangan gentar untuk bersaing dengan mana-mana pasukan

PELUANG menyarung jersi kebangsaan merupakan satu penghormatan dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh disiplin, kesungguhan serta semangat juang yang tinggi.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, semua pemain yang diberikan tanggungjawab perlu mengalas tugas dengan penuh semangat dan dedikasi serta memanfaatkan peluang yang ada.

“Semua pemain mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya. Anda semua mempunyai tanggungjawab untuk membawa nama dan maruah negara.

“Berikan komitmen sepenuhnya, berdisiplin dalam latihan dan sentiasa percaya kepada kemampuan diri serta kekuatan pasukan.

“Ini rumah kita, gunakan kelebihan sebagai tuan rumah. Jangan gentar untuk bersaing dengan mana-mana pasukan. Apa yang penting ialah semangat berpasukan, keberanian, kesungguhan dan keinginan untuk terus belajar serta memperbaiki kelemahan.

“Saya berharap para pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan berusaha untuk melayakkan diri ke pusingan akhir nanti,” jelasnya semasa meluangkan masa bertemu barisan pemain serta kejurulatihan skuad Bawah 16 Tahun (B-16) Harimau Malaya yang kini sedang menjalani persiapan akhir bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2027.

Pertemuan tersebut menjadi platform buat beliau menyampaikan kata-kata semangat, motivasi serta amanat kepada seluruh pemain agar memberikan komitmen tinggi sepanjang tempoh persiapan, selain memanfaatkan setiap sesi latihan untuk meningkatkan tahap kecergasan, kemahiran individu dan persefahaman sebagai sebuah pasukan.

Hadir sama Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee dan Ketua Jurulatih, Shukor Adan mengenai persiapan skuad B-16 Harimau Malaya.

Selaku tuan rumah aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-17 2027, Malaysia dijadualkan menentang Palestin pada Ahad, 8 November 2026, diikuti berdepan Singapura (Sabtu, 14 November 2026), Guam (Selasa, 17 November 2026) dan India (Jumaat, 20 November 2026).

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada jam 9 malam.


Add Comment

Click here to post a comment