
SEMANGAT kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan atlet terus menjadi keutamaan apabila pengeluar minuman isotonik nombor satu negara, 100PLUS dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menyampaikan sumbangan kepada 10 atlet dan bekas atlet beragama Hindu sempena sambutan Deepavali 2026.
Inisiatif berkenaan melibatkan empat atlet semasa dan enam bekas atlet daripada pelbagai cabang sukan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan serta pengorbanan mereka sepanjang bergelar atlet.
Ketua Pengarah MSN, Ariffin Mohd Ghani berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha MSN, 100PLUS dan YAKEB untuk terus mendekati atlet dan bekas atlet, khususnya dalam meraikan perayaan keagamaan mereka.
“Bersama sama 100PLUS, MSN dan YAKEB telah menyampaikan sedikit sumbangan kepada atlet dan bekas atlet beragama Hindu sempena sambutan Deepavali yang akan diraikan pada Ahad ini.
“Kami berharap Deepavali tahun ini akan membawa lebih banyak cahaya dan kebahagiaan kepada mereka. Walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, kami berharap ia dapat menceriakan sambutan mereka bersama keluarga. Bagi pihak MSN dan YAKEB, kami mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali,” katanya.
Antara penerima sumbangan dalam kalangan atlet aktif ialah Kirthan Raj A/L Asaithamby, Devaosrichalam A/L Naidu dan Orson Jothi daripada sukan para taekwondo serta Jyayahmurugan Veeramurugan daripada para olahraga.
Turut menerima sumbangan ialah bekas atlet kabaddi, Rajendran A/L Ramakrishnan, yang pernah mewakili negara pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan, selain bekas atlet taekwondo, karate do, olahraga dan kriket.
Rajendran berkata, sumbangan yang diberikan oleh 100PLUS, YAKEB dan MSN membawa makna besar kepada bekas atlet yang masih dihargai walaupun sudah lama meninggalkan arena sukan kompetitif.
“Saya berbangga kerana YAKEB dan MSN masih mengingati kami sebagai bekas atlet. Mereka masih mengambil berat dan membantu kami melalui sumbangan seperti ini.
“Saya sangat gembira kerana kami tidak dilupakan walaupun sudah lama meninggalkan dunia sukan,” katanya.
Beliau turut berkongsi keterujaan menyambut Deepavali bersama keluarga, yang lazimnya diisi dengan persiapan membersihkan dan menghias rumah serta membuat persediaan untuk menyambut perayaan bersama insan tersayang.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan 100PLUS, MSN dan YAKEB dalam menghargai jasa atlet serta bekas atlet tanpa mengira latar belakang sukan, selain memastikan kebajikan dan kebajikan sosial golongan berkenaan terus diberikan perhatian.







Add Comment