Bola Sepak • Terkini

FAM terima laporan rasmi dari Kuching City FC dan SFC

Sebarang keputusan atau hukuman hanya dapat ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima laporan rasmi daripada Kuching City FC dan Selangor FC berhubung insiden kekecohan yang berlaku ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara kedua-dua pasukan di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Sarawak pada Ahad, 8 November 2026.
Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, laporan berkenaan akan diteliti berserta laporan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) serta segala dokumen dan bukti berkaitan bagi memastikan perkara ini dapat ditangani mengikut peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.
“Pada Selasa, 10 November 2026, MFL telah menyerahkan segala maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan berkaitan insiden tersebut kepada FAM,” jelasnya.
Tambahnya lagi, FAM memandang serius setiap insiden yang boleh menjejaskan aspek keselamatan pemain dan pegawai serta imej bola sepak negara. Sehubungan itu, FAM akan memastikan setiap laporan dan maklumat berkaitan diberikan perhatian sewajarnya.
“Sebarang keputusan atau hukuman hanya dapat ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti laporan serta bukti berdasarkan peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa,” ujarnya.

Tags

Add Comment

Click here to post a comment