
Coca-Cola dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan “Coca-Cola: Bina Juara”, sebuah program pembangunan bola sepak akar umbi yang membawakan teknologi bertaraf profesional, kepakaran kejurulatihan, dan wawasan prestasi kepada bakal pemain bola sepak di seluruh negeri tersebut.
Program dilancarkan bertujuan sebagai akses kepada sains sukan, teknologi prestasi, dan peluang pembangunan profesional masih terhad bagi ramai pemain muda serta jurulatih komuniti khususnya di Sabah.
Dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, program ini mencerminkan komitmen bersama dan kerjasama antara sektor awam, akademik, dan swasta untuk memperkukuh peluang pembangunan belia melalui sukan.
Dibangunkan dengan kerjasama UMS, “Coca-Cola: Bina Juara” melangkaui klinik bola sepak tradisional dengan mendedahkan para peserta kepada peranan sains sukan dan pembangunan prestasi berasaskan data dalam bola sepak moden.
Program ini menggabungkan kepakaran sains sukan serta teknologi bola sepak termaju untuk membantu pemain memahami kekuatan diri dengan lebih baik, mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki, dan meningkatkan prestasi mereka, baik di dalam mahupun di luar padang.
Teras program ini merangkumi tiga penilaian utama yang disokong oleh teknologi: vest penjejak prestasi GPS, analisis perlawanan berkuasa kecerdasan buatan (AI), dan ujian prestasi menggunakan bola pintar.
Kesemua alat ini memberikan gambaran tentang kesediaan fizikal, kesedaran taktikal, dan keupayaan teknikal pemain, sekali gus membantu peserta memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai corak permainan mereka serta cara untuk meningkatkannya.

Para jurulatih turut mendapat manfaat melalui akses kepada data dan analisis prestasi, yang boleh menyokong perancangan latihan, pembangunan pemain, dan persediaan menghadapi perlawanan.
Pengarah Kanan Dasar Awam, Coca-Cola ASEAN & Pasifik Selatan, Claudia Chan berkata, selama beberapa dekad, Coca-Cola telah menjadi sebahagian daripada detik-detik yang menyatukan rakyat Malaysia, dan bola sepak kekal sebagai salah satu minat utama yang dikongsi bersama di negara ini.
“Melalui ‘Bina Juara’, kami membantu menjadikan sains sukan dan peluang pembangunan bola sepak lebih mudah diakses oleh golongan muda yang mungkin tidak mempunyai peluang sedemikian sebelum ini.
“Dengan bekerjasama bersama UMS dan pihak berkepentingan bola sepak tempatan, kami berharap dapat menyemai keyakinan, disiplin, dan cita-cita yang lebih tinggi dalam kalangan generasi bakat bola sepak masa depan di Sabah,” ujarnya.









Add Comment