Antarabangsa • Hoki • Terkini

Speedy Tigers Bawa Misi Perbaiki Kedudukan Di Trofi Juara-Juara Asia 2026


PASUKAN Hoki Senior Lelaki Kebangsaan, Speedy Tigers, membawa misi memperbaiki pencapaian terdahulu apabila turun beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2026 di Punjab, India, dari 27 Oktober hingga 5 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), merangkap Pengurus Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak, mahu skuad negara mengekalkan momentum selepas muncul naib juara Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekaligus membuktikan kemampuan Malaysia untuk terus bersaing dalam kelompok terbaik Asia.

Beliau turut mahu pemain menyahut cabaran Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal, untuk mencipta kejutan dengan menewaskan India di laman sendiri, selain mengekalkan konsistensi sepanjang kejohanan.

“Pencapaian sebagai naib juara Sukan Asia perlu menjadi pembakar semangat untuk kita meneruskan momentum kemenangan. Saya mahu pemain beraksi secara konsisten, mengekalkan prestasi terbaik dan turun dengan penuh keyakinan untuk menyahut cabaran menewaskan India di laman sendiri.

“Kita perlu membuktikan kemampuan Malaysia sebagai antara pasukan terbaik Asia dan menamatkan kejohanan ini dengan kedudukan lebih baik berbanding edisi lalu,” katanya.

Malaysia mengekalkan barisan pemain yang beraksi pada Sukan Asia 2026, dengan Norsyafiq Sumantri menjadi satu-satunya pemain yang tidak menyertai kempen di Punjab akibat kecederaan biseps.

Tempat beliau digantikan oleh Muhammad Adam Asyraf Johari, yang tidak disenaraikan dalam skuad Sukan Asia. Enam negara, iaitu Malaysia, India selaku tuan rumah, Jepun, Korea Selatan, China dan Bangladesh, bakal bersaing pada edisi kali ini.

Perlawanan pusingan liga secara round robin akan berlangsung di Olympian Surjit Singh Hockey Stadium, manakala perlawanan penentuan kedudukan dijadualkan di The Olympian Balbir Singh Senior International Hockey Stadium.

Malaysia akan membuka tirai kempen menentang China pada 27 Oktober, diikuti Korea Selatan (29 Oktober), Bangladesh (30 Oktober), India (1 November) dan Jepun (2 November) dalam saingan liga satu pusingan.


Add Comment

Click here to post a comment