
Oleh: SURYATI MOHD NOR
“KALAU mereka rasa teraniaya… saya juga berasa begitu,” luah Ketua Jurulatih Futsal Wanita Kuala Lumpur Mohd Haris Supyan yang membawa pasukan tersebut beraksi di Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Menurut Haris, pelbagai isu yang tidak menyenangkan timbul sejak beberapa hari ini melibatkan pasukannya, namun dia mengambil sikap bertenang, lebih-lebih lagi masih menjalani kuarantin selepas dijangkiti Covid-19.
“Apa yang dilaporkan sebelum ini mengenai situasi sebenar dalam pasukan yang dikatakan teraniaya ada yang benar dan ada yang tidak betul.
“Saya bukan mengenali pemain-pemain ini sebulan dua, malah sejak mereka lepas SPM lagi (2017) dan telah melatih mereka sehingga pandai bermain futsal dengan betul.
“Saya merupakan ketua jurulatih TUFA (Tot United Futsal Akademi) di Manjung. Manakala pemain-pemain yang ada dalam pasukan ini adalah gabungan pemain-pemain lama dan muda dari Perak dan Pulau Pinang.

“Kami beraksi di sini dengan kelulusan KLFA (Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur) bagi membolehkan pasukan menyertai pertandingan MPFL kali ini.
“Dan sebelum menyertai kejohanan ini, saya sudah memberitahu kepada pemain-pemain bahawa saya menghantar pasukan hanya atas platform untuk bermain dan cari pengalaman sahaja.
“Namun episod lain bermula apabila seorang individu ini tampil menawarkan diri untuk menjadi pengurus pasukan,” kongsi Haris kepada CAKAP SUKAN.
Menurut Haris, pengurus itu telah berjanji dengan pemain-pemain akan membayar gaji sebanyak RM1,500 seorang sebelum perlawanan bermula.
ARTIKEL BERKAITAN: MPFL Wanita: Sebahagian pemain Kuala Lumpur ‘merempat’ dan tak dibayar gaji?!
“Dia mula mencari beberapa penaja di sekitar Perak, namun kebanyakan tidak dapat (penaja) kerana kami bermain di bawah nama Kuala Lumpur. Jadi sejak awal lagi saya dahulukan duit sendiri untuk semua perbelanjaan termasuk penginapan, makan, minum dan pengangkutan.
“Namun pemain-pemain (16 pemain) ini menekan saya dengan menuntut gaji dijanjikan kepada mereka. Walhal bukan saya yang berjanji dengan mereka, malah saya sendiri pun ‘terkena’ seperti pemain-pemain.
“Tugas saya sepatutnya melatih dan memastikan semua pemain bermain dengan baik. Soal pengurusan adalah di tangan pengurus. Tetapi saya sabar dan menggunakan wang dari poket sendiri.
“Apa yang paling mengecewakan saya sikap pemain-pemain yang cuba memboikot perlawanan seperti ingin menjatuhkan saya. Mujur ada pemain-pemain muda yang faham dan ada bersama saya untuk teruskan perlawanan walaupun tewas besar 0-26 kepada Melaka United.
“Saya sanggup gadaikan Iphone saya untuk memastikan mereka ada tempat tinggal, tetapi mereka mengambil keputusan untuk tidak terus bermain dan pulang.
“Inilah yang saya kecil hati kerana saya kenal mereka bukan sebulan dua. Namun, benda sudah heboh… saya hanya mampu bersabar dan mahu kembali sihat dan tumpukan baki perlawanan minggu depan,” ujarnya.
Add Comment