Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI
PERNAH mencetuskan polemik pertengkaran di atas padang pada pentas separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021, pemain lincah Harimau Malaya, Faisal Halim ingin melupakan peristiwa itu dan fokus untuk pasukan negara.
Faizal yakin apa yang berlaku sebelum ini membabitkan bekas ketua pasukan negara, Safiq Rahim yang kini turut membarisi skuad kebangsaan, merupakan seorang pemain yang profesional.
“Saya dengan Safiq Rahim tiada masalah, saya bermain dalam satu pasukan, kadang-kadang saya main sebelah kanan, tengah, kesebelasan berbeza, bila saya minta bola tetap bagi pada saya.
“Safiq Rahim sememangnya orang baik, cuma biasalah ‘orang tua’, dia suka marah-marah itulah …sebenarnya bagi saya Safiq adalah profesional.
“Saya pun takde pun nak bawa kes-kes yang lepas sampai ke sini, dia ok saya pun ok… semuanya dah selesai,” katanya ditemui media pada sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, pagi Isnin.
Sebelum ini pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SIS) Iskandar Puteri, Safiq rahim dilayangkan kad merah selepas menanduk Faisal Halim namun JDT yang beraksi dengan kekurangan seorang pemain berjaya melangkah ke pentas final.
Kesemua pemain Harimau Malaya kini menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil selama lapan hari sebelum mereka berlepas ke Singapura pada esok pagi bagi menghadapi perlawanan persahabatan Antarabangsa Peringkat 1 di Stadium Nasional Singapura menentang Filipina dan Singapura serta pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.
Add Comment