
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima surat daripada Rizal Ghazali mengenai keputusan penolakannya dari menyertai kem latihan Harimau Malaya bermula 14 Mac lalu.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pemain kelahiran Kedah yang kini bersama Sabah FC telah mengemukan surat berkenaan, Jumaat lalu.
“Kita sudah dapat surat hari Jumaat, alasan yang dia bagi adalah kerana dia menghadapi masalah keluarga… keluarga dia sakit.
“Rasanya dia tak dapat datanglah,” jelasnya.
Ditanya mengenai bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atasnya, Mohd Saifuddin menjelaskan, FAM masih belum ada sebarang keputusan kerana perkara ini akan dibincangkan dengan pengurusan skuad kebangsaan.
“Penilaian akan dibuat pengurusan skuad kebangsaan, macam mana penilaian berkaitan permohonan dia ini dan terpulanglah kepada pengurusan kebangsaan untuk membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu, FAM mengesahkan yang Rizal yang diletakkan dalam senarai menunggu menolak pelawaan sertai skuad kebangsaan bagi menggantikan Syahmi.
Namun FAM mengumumkan pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bagi menggantikan Syahmi yang memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.
Sebelum ini, Mohd Saifuddin berkata, kes berkaitan Rizal hanya boleh dipanjangkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas tarikh rehat antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bermula 21 Mac ini.
Malah pada Sabtu, pemain ini memberi bayangan bahawa penolakannya menyertai kem latihan skuad kebangsaan kemungkinan besar berkaitan kesihatan ayahnya.
Tanpa membuat sebarang penjelasan rasmi mengenai punca penolakan tersebut, pemain Sabah FC berusia 30 tahun itu berkongsi sekeping gambar ayahnya berada di hospital, menjalani rawatan.
“Semoga sihat seperti biasa, jauh mana pun tetap anak mu berdoa Amin,” tulis Rizal di Instagramnya.
Add Comment