Bola Sepak

MPFL Wanita: “KLFA hanya bantu lulus slot penyertaan… pasukan KL di bawah jagaan TOT United Futsal”


Pasukan futsal wanita Kuala Lumpur.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PASUKAN futsal wanita Kuala Lumpur yang beraksi di pentas Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bukan di bawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa memberitahu, pengurusan pasukan futsal wanita Kuala Lumpur adalah di bawah tanggungjawab TOT United Futsal Akademi.

“Mereka ada datang berjumpa dengan saya untuk meminta slot menyertai liga (MPFL), jadi saya bantu memandangkan ada kekosongan dan memberi peluang kepada mereka.

“Memandang  TOT  United ini bukanlah baharu dalam bola sepak dan futsal… kerana mereka juga ada akademi,  jadi kami memberi peluang dan tanggungjawab kepada mereka untuk mendaftar pasukan futsal wanita ini.

“Malah mereka juga berjanji akan menguruskan pasukan itu. Saya pun sebenarnya baru tahu mengenai isu pasukan futsal wanita ini.

“Cuma, kenapa baharu sekarang pemain-pemain bersuara mengenai masalah ini. Sepatutnya lebih awal lagi maklumkan kepada kita,” ujarnya kepada CAKAP SUKAN.

ARTIKEL BERKAITAN: MPFL Wanita: Sebahagian pemain Kuala Lumpur ‘merempat’ dan tak dibayar gaji?!

Menurut Nokman, dia juga telah menghubungi jurulatih untuk mengadakan pertemuan selepas selesai saingan liga minggu depan.

“Saya ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Namun KLFA juga telah membantu sedikit sebanyak kepada pemain-pemain pasukan Kuala Lumpur ini.

“Apabila terjadi masalah seperti ini, sudah tentu melibatkan nama KLFA sebab mereka guna nama ‘Kuala Lumpur’.

“Saya menyokong mereka kerana mereka ada akademi sendiri dan inilah masanya untuk memberi peluang kepada pemain-pemain mencari pengalaman,” tambahnya.

Sebelum ini Cakap Sukan melaporkan bahawa pemain-pemain Kuala Lumpur dinafikan kebajikan mereka sepanjang menyertai liga tahun ini termasuk tidak dibayar gaji serta tiada elaun makan dan minum serta masalah penginapan pasukan.

Dalam pada itu, Nokman memberitahu pasukan futsal wanita Kuala Lumpur (KLFA) tidak menghantar penyertaan tahun ini kerana belum bersedia.

“Mungkin tahun depan kita akan hantar pasukan sendiri. Ramai pemain kita juga beraksi kali ini bersama dengan pasukan Melaka United.”

Sebagai rekod, pada saingan MPFL 2019, pasukan wanita Kuala Lumpur muncul sebagai juara selepas menewaskan Selangor 7-0 pada aksi akhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: