Bola Sepak

Projek rumput Zeon Zoysia di SNBJ bermula 2023


Tunku Ismail ketika sesi lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Oleh: SUBKHI SUDARJI/ MOHD IZARI ROSLI

PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ismail memberi jaminan masalah padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dijangka selesai selepas kerja-kerja naik taraf siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Tunku Ismail berkata, projek padang baharu menggunakan rumput Zeon Zoysia yang menelan belanja kira-kira RM1.4 juta dijangka akan bermula awal Januari depan dengan jangkaan siap sepenuhnya empat bulan kemudian.

“Pandangan saya kita perlu ada padang yang baharu lebih berkualiti kerana berdasarkan apa yang saya lihat, keadaan sekarang agak memalukan sedangkan negara-negara jiran sudah pun menukar padang stadium mereka.

“Bagaimanapun, disebabkan SNBJ sudah memiliki banyak komitmen serta acara yang perlu dipenuhi tahun ini, kita bersetuju untuk memulakan projek menukar padang pada Januari tahun depan.

“Buat masa sekarang, jumlah sumbangan yang saya berikan sekitar RM1.2 juta hingga RM1.4 juta tetapi jika ada rezeki, ia mungkin akan bertambah memandangkan ada penambahbaikan daripada sistem saluran air selain menambah mesin verti-drain,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat SNBJ yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tambahnya lagi, beliau mengharapkan keputusan untuk mengubah padang SNBJ dapat memberikan ‘efek domino’ buat pasukan Liga Malaysia (Liga M) atau pihak kerajaan negeri untuk mengubah padang di stadium masing-masing.

“Saya sudah suarakan masalah padang sejak lima tahun lepas, bila lagi jika saya tidak membantu melakukan perubahan kalau bukan sekarang. Saya harap kelab-kelab lain mengambil inisiatif yang sama.

“Ini kerana Malaysia sahaja yang masih belum berkembang daripada aspek padang sedangkan kos penyelenggaran tidak besar hanya RM240,000 setahun.

“Buat masa ini hanya JDT dan Terengganu FC yang memiliki kualiti padang yang baik,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: