Bola Sepak

“Saya tak lari… penaja tak jadi ‘sponsor’ team” – Pengurus Futsal Wanita KL


Pasukan Futsal Wanita Kuala Lumpur yang beraksi pada MPFL 2022.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PENGURUS skuad futsal wanita Kuala Lumpur akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai isu kebajikan pemain-pemain ketika aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) yang kini sedang berlangsung.

Menurut Mazuan, dia tidak melarikan diri seperti yang dilaporkan sebelum ini, malah masih menjalankan tugasnya sebagai pengurus pasukan.

“Saya jarang berada bersama pasukan ketika aksi berlangsung memandangkan terikat dengan kerja dan dalam masa sama masih lagi cuba mencari beberapa penaja bagi melunaskan janji saya kepada pemain-pemain untuk bayaran gaji.

“Selepas pelbagai tuduhan pemain-pemain (16) pemain terhadap saya, baik saya berdiam diri dan terus mencari jalan untuk menyelesaikan keadaan.

ARTIKEL BERKAITAN: MPFL Wanita: Sebahagian pemain Kuala Lumpur ‘merempat’ dan tak dibayar gaji?!

“Saya tidak mahu kekecohan terus berlaku walaupun telah cuba memberi penjelasan kepada semua pemain mengenai situasi sebenar dalam pengurusan ini,” jelasnya ketika menghubungi CAKAP SUKAN.

Jelas Mazuan, masalah timbul bermula apabila salah seorang penaja, yang sepatutnya menyerahkan tajaan gaji pemain telah menarik diri.

“Satu pihak penaja bersetuju untuk memberi sejumlah wang yang saya cadangkan untuk gaji semua pemain dan dia setuju (jumlah yang dicadangkan) namun selepas melihat perlawanan pertama, kedua dan ketiga dia tak jadi ‘sponsor’ kerana kecewa dengan keputusan perlawanan.

“Bermula dari situ, kelihatan pemain-pemain sudah tidak bersemangat untuk perlawanan seterusnya. Saya cuba jelaskan dan meminta mereka teruskan sahaja bermain… tapi sudah terlambat. Mereka sudah burukkan nama saya dan jurulatih.

Pasukan KL masih meneruskan perlawanan biarpun hanya tinggal beberapa orang pemain.

“Ia membuatkan saya sukar untuk menyakinkan penaja-penaja lain. Namun saya tetap teruskan usaha mencari penaja sehingga sekarang.

“Jika berdasarkan kontrak mereka masih lagi dalam tempoh perlawanan (liga) dan sepatutnya mereka tidak boleh lari daripada pasukan.

“Pun begitu saya tetap akan melunaskan gaji mereka semua selepas ini. Namun mungkin hanya yang kekal dalam pasukan sehingga liga tamat akan menerima penuh gaji yang dijanjikan.

“Manakala yang lain, saya akan pertimbangkan jumlah bayaran yang layak mereka terima” ujarnya.

Tambah Mazuan, dia tidak mahu keadaan ini bertambah buruk kerana melibatkan nama KLFA (Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur).

“Habis sahaja liga ini saya dan coach akan pergi berjumpa dengan pihak KLFA menjelaskan apa yang berlaku.

“Perkara ini tidak melibatkan KLFA. Mereka hanya memberi kelulusan slot kepada kami untuk bertanding dalam liga dengan nama Kuala Lumpur. Semua pengurusan adalah di tangan saya dan saya mengambil tanggunjawab ini,” jelasnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: