Bola Sepak

Tiga digugurkan, KPG bawa 25 pemain terbang ke Singapura


Pan-gon bersama pemain pada sesi latihan terakhir pagi tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

TIGA pemain skuad Harimau Malaya yang tersenarai daripada 30 pemain menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula 14 Mac lalu digugurkan.

Pemain berkenaan adalah Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC) dan Shio Hong Wan (JDT), dengan Pan-gon tidak menyatakan sebab-sebab penguguran tiga pemain terbabit.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, jurulatih  Harimau Malaya, Kim Pan-gon  hanya membawa 25 pemain ke Singapura selepas membuat penilaian selama seminggu ke atas 28 pemain sepanjang kem latihan yang bermula minggu lalu.

Untuk rekod, daripada 30 pemain yang disenaraikan untuk kem latihan pusat kali ini, hanya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari tidak dapat melapor diri selepas meminta pengecualian kerana menyambut kelahiran cahaya mata kembar tiga dan tempatnya digantikan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee.

Sementara dua lagi tonggak yang berpengkalan di luar negara, Dion Cools dan Liridon Krasniqi akan terus melapor diri di Singapura nanti.

Penyerang PJ City FC, Darren Lok pula hadir melapor diri pada 14 Mac tetapi terpaksa digugurkan selepas positif ujian RTK dan PCR, sekaligus tempatnya digantikan oleh Zhafri Yahya dari Kuala Lumpur City FC.

Shio Hong Wan (kiri) tidak dibawa Pan-gon untuk aksi persahabatan di Singapura.

Seterusnya, dua lagi pemain terpaksa digugurkan semasa kem latihan pusat berlangsung iaitu pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor yang mengalami kecederaan pangkal paha dan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim yang disahkan positif Covid-19, tetapi Pan-gon memutuskan untuk tidak memanggil mana-mana pemain dari senarai menunggu untuk hadir sebagai pengganti.

Di Singapura nanti, pasukan negara akan beraksi pada FAS Tri-Nations Series 2022 yang mana Malaysia dijadual bertemu Filipina pada Rabu ini dan Singapura pada Sabtu, dengan kedua-dua aksi berstatus aksi antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Singapura.

Satu lagi perlawanan diatur iaitu aksi persahabatan tertutup menentang kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 28 Mac ini, sebelum terbang pulang ke tanahair keesokan harinya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: