Komentar

2021 tahun ‘lemau’ sukan tanah air, hanya Sukan Paralimpik jadi penyelamat


Kontinjen negara membawa pulang tiga emas dan dua perak diraih pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

SUKAN Paralimpik menjadi penyelamat dan kebanggaan arena sukan tanah air sepanjang tahun ini  berbanding beberapa atlet lain yang disandarkan dengan sasaran serta kejayaan namun sebaliknya hampa dengan keputusan diraih.

Tiga emas dan dua perak diraih pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selain kehilangan emas hasil kesilapan sendiri sesuatu yang seharusnya dibanggakan atlet itu sendiri dan juga rakyat Malaysia serta seharusnya menjentik hati atlet-atlet sempurna yang lain.

Olimpik Tokyo 2020 yang tertangguh hampir setahun ekoran Covid-19 diadakan semula pada  23 Julai hingga 8 Ogos menjadi tumpuan peminat sukan tanah air yang ingin melihat kilauan emas pertama Malaysia di temasya Olimpik.

Kontinjen negara bagaimanapun terpaksa berpuas hati dan berputih mata apabila sekadar meraih masing-masing sebutir perak dan gangsa, sekali gus penantian emas negara terus berpanjangan sehingga edisi Paris 2024.

Atlet paling menonjol pastinya  pelumba berbasikal trek Datuk Azizulhasni Awang yang mempamerkan kayuhan terpuji untuk membawa pulang perak acara keirin, selepas berlaku sedikit kesilapan dalam percaturan taktikal di perlumbaan akhir.

Ternyata curahan air mata ketika ditemuramah media selepas perlumbaan menggambarkan kekecewaannya…

KILAUAN PINGAT OLIMPIK

Pemain badminton beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mencipta kejutan menewaskan dua beregu pilihan utama dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, pada suku akhir dan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada penentuan gangsa bagi memastikan badminton kekal sebagai penyumbang pingat bagi Malaysia pada temasya Olimpik.

Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri yang pulang tanpa sebarang pingat walaupun memperagakan terjunan konsisten pada acara 3m papan anjal wanita untuk menduduki tempat keempat.

Nur Dhabitah yang juga bekas juara dunia 2017 dan pemenang perak Rio 2016 (bersama Pandelela Rinong), Cheong Jun Hoong yang bergelut dengan kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekadar menduduki tempat ke-26 daripada 30 penerjun, sekali gus gagal mara ke pusingan separuh akhir acara 10m platform wanita.

Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong yang meraih gangsa dan perak di London 2012 dan Rio 2016 turut gagal menyerlah, manakala gandingan bersama penerjun veteran Leong Mun Yee bagi acara 10m platform seirama, menyaksikan mereka menduduki tempat terakhir daripada lapan peserta.

Secara keseluruhan kem terjun yang menjadi penyumbang pingat bagi dua edisi terdahulu, tidak mempamerkan prestasi seperti diharapkan.

MEREKA MEMBUKTIKANNYA… 

Tidak diberikan pengharapan yang ketara malah liputan berbanding Sukan Olimpik, atlet para membuktikan kemampuan mereka dengan melakar beberapa kejayaan membanggakan dan menepati sasaran yang ditetapkan.

Segalanya bermula menerusi Badang para negara Bonnie Bunyau Gustin merangkul emas pertama negara di Paralimpik Tokyo 2020 menerusi kategori 72 kilogram (kg) powerlifting lelaki, diikuti pemain perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou yang memahat nama selaku juara pertama badminton negara, apabila sukan raket itu dipertandingkan buat kali pertama di Paralimpik Tokyo.

Lagu Negaraku terus berkumandang di Tokyo dan kali ini giliran jaguh olahraga Abdul Latif Romly apabila tenang melengkapkan emas ketiga Malaysia di Tokyo dan emas kedua peribadinya menerusi acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), sekali gus mempertahankan gelaran juaranya.

Rentak kecemerlangan Bonnie diteruskan Jong Yee Khie selepas berjaya meraih perak bagi acara 107kg powerlifting, manakala kelibat Chew Wei Lun yang membuat kemunculan sulung di pentas Paralimpik ternyata mengejutkan ramai, dengan menghadirkan perak acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) boccia.

Namun  isu membelenggu pemenang emas Rio 2016 Muhammad Ziyad Zolkefli, yang terlepas emas acara lontar peluru lelaki F20, walaupun melakukan lontaran sejauh 17.94m yang juga mengatasi rekod dunia, gara-gara lewat tiba di bilik panggilan, pastinya menjadi igauan buruk buat kontinjen negara di negara.

Pencapaian kontinjen Paralimpik di Tokyo ini dianggap pencapaian terbaik sejak pertama kali menyertai temasya itu pada Heidelberg 1972, dengan meraih tiga emas dan dua perak, mengatasi pencapaian tiga emas dan sebutir gangsa di Rio 2016.

PARALIMPIK BUAT HAL LAGI…

Badang para negara Bonnie Bunyau Gustin terus mencipta pada 2021 apabila atlet dari Sarawak itu bergelar juara dunia di Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia awal bulan ini, selain menjuarai Piala Dunia 2021 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun dengan memecahkan rekod dunia.

Liek Hou juga tidak kurang hebatnya apabila menggondol dua gelaran iaitu Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Fazza-Dubai di UAE pada April dan Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol pada Mei, sebelum mengukir sejarah di Jepun.

Kecemerlangan atlet senior di Jepun ternyata memberi inspirasi buat atlet muda negara apabila menamatkan cabaran di Sukan Belia Para Asia (AYPG) 2021, yang berlangsung di Bahrain awal bulan ini dengan mengutip tiga emas, lima perak dan lima gangsa.

SUKA DUKA BADMINTON TANAH AIR…

Tidak dinafikan sukan badminton turut menyumbangkan detik gembira dan gemilang buat Malaysia menerusi pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia, muncul juara All England pada Mac, dengan mengatasi pemain seperti juara Olimpik Tokyo Viktor Axelsen pada final dan pemain nombor satu dunia ketika itu, Kento Momota pada suku akhir.

Pemain berusia 23 tahun itu, kemudian menjadi antara watak utama dengan bantuan Aaron-Wooi Yik dan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, meraih gangsa Piala Sudirman di Vantaa, Finland dengan mengejutkan Indonesia 3-2 pada suku akhir, serta mara ke suku akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark.

Namun keputusan pemenang perak beregu campuran Rio 2016, Chang Peng Soon-Goh Liu Ying yang menamatkan gandingan selepas 13 tahun bersama menceritakan segala-galanya sambil Peng Soon kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membentuk gandingan bersama Valeree Siow.

Harimau Malaya gagal menepati janji apabila tersingkir awal dari kejohanan Piała AFF 2020.

BOLA SEPAK HANYA ‘MIMPI’, HOKI DI KELAS SENDIRI

Sukan paling popular di Malaysia,  bola sepak dan hoki menceritakan senario yang berbeza apabila skuad kebangsaan gagal menepati janji untuk melangkah ke pentas akhir Piala AFF 2020 apabila terlebih dahulu ditunjukkan jalan keluar apabila gagal melepasi peringkat kumpulan!.

Walaupun skuad bola sepak bawah (b) 22 tahun negara berjaya melayakkan diri ke Piala Asia B-23 AFC 2022 selepas muncul juara pusingan kelayakan di Mongolia pada Oktober namun keutamaan pastinya HARIMAU MALAYA.

Entah apa lagi alasan yang harus diberikan, naturalisasi telah dilaksanakan, pemain yang beraksi diluar negara dipanggil pulang namun semuanya gagal dan ini pastinya memberi amaran jelas bahawa sesuatu perlu dilaksanakan segera.

Namun malangnya sehingga kini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya mengeluarkan kenyataan media bertanggungjawab mengenai kegagalan pada temasya dwi tahunan itu tanpa memperjelaskan tindakan selanjutnya perlu dilakukan.

Berbeza dengan sukan hoki apabila skuad hoki muda meraih tempat kelapan Piala Dunia Remaja di India, baru-baru ini selain skuad senior tersenarai diantara 10 pasukan terbaik dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Speedy Tigers naik satu anak tangga di kedudukan ke-10 dunia dengan mengumpul 1427.181 mata, memintas Kanada yang jatuh di tangga ke-11 dunia (1422.120 mata). Kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 10 teratas adalah 18 tahun lalu iaitu pada Oktober 2003.

Skuad Speedy Tigers melonjak ke tangga ke-10 ranking dunia. – Foto ihsan Facebook MHC.

ISU DOPING TERUS MENGHANTUI

Di sebalik pelbagai kejayaan manis, sukan angkat berat terus dilanda krisis doping apabila tiga badang negara termasuk seorang wanita, didapati positif penggunaan bahan terlarang pada tahun ini, sehingga memaksa pasukan kebangsaan dibubarkan berkuat kuasa 1 November lalu.

Arena  sukan negara juga diselubungi kesedihan susulan pemergian pemanah Olimpian, Haziq Kamaruddin, 27, pada hari raya kedua akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat perubahan arterosklerosis, serta bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong, 62, pada Oktober.

Pastinya kita semua mengharapkan  tahun 2022 bakal memberi sinar gemilang kepada arena sukan tanah air dengan tiga temasya sukan yang bakal diharungi iaitu Sukan SEA di Hanoi, Vietnam (dijangka pada Mei); Sukan Komanwel di Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia di Hangzhou, China (10-25 September).

Demi Malaysia, Tanah Tumpah Darahku!

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: