Bola Sepak Harimau Malaya Komentar Liga Malaysia 2023 Rencana Terkini

KOREKSI SEMULA HALA TUJU BOLASEPAK NEGARA


Bicara Otai Sukan

Dato’ Dr Pekan Ramli

20 Mei 2024

 

Sudah ‘capek’ (kata orang Indonesia) atau ‘dah letih dan lelah’ bila bercakap tentang bolasepak Malaysia sekarang ini. “ombaknya kedengaran, pasirnya tidak juga kelihatan”. Kita sering disajikan dengan kegagalan demi kegagalan skuad kebangsaan. Ia ibarat “malang tiada datang tunggal”, selepas Harimau Malaya tersingkir awal di Qatar pada Piala Asia 2024, diikuti pula nasib yang sama dialami Harimau Muda pada Piala Asia bawah 23 tahun juga di Qatar baru-baru ini. Arakiannya, setiap kali datang kejohanan besar, keyakinan tinggi sering ‘kita’ laungkan, “kita yakin layak ke pusingan kalah mati”, “kita yakin ke separuh akhir”, akhirnya semua keyakinan itu juga ke laut, ibarat “mahal dimulut murah ditimbangan”. Itulah ‘trend’ yang sentiasa berulang-ulang hingga hari ini.

 

Kali terakhir bolasepak kita mencipta kejayaan yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia adalah apabila ‘muncul juara’ Piala AFF 2010 dan memenangi ‘pingat emas’ di Sukan Sea Jakarta, Indonesia 2011. Malang sekali namanya kini sudah tidak sepadan rupanya. Mendengar nama ‘timangan’ pasukan kita ini sepatutnya mengerunkan pihak lawan, hairannya tidak berlaku begitu. Agaknya nama “Harimau” ini tidak serasi lagi untuk dipakai kerana ia sudah senang untuk dijinakkan. Malah jika harimau kita ter ‘luka’ sekalipun ngauman dan serangannya tidak lagi seganas tabiinya. Mungkin deria kesakitannya sudah mati atau telah lali dengan luka yang tidak lagi membawa rasa pedih dan nyeri, malah sudah menjadi “alah bisa tegal biasa”.

 

Adakah kita mahu biarkan ianya berterusan begini? Kita tidak mahu skuad negara akhirnya menjadi ‘harimau sarkis’. Jangan sampai nanti kita diminta untuk menukar ‘ikon’ yang lebih sepadan dengan ‘karakter’ skuad kita sekarang ini (mungkin kucing parsi, arnab, kuda padi, dan ayam serama) atau hakikat sebenarnya kita perlukan ‘ikon’ baru yang lebih garang untuk melonjakkan kembali semangat juang pemain negara. Justeru, sebelum kita tercicir terlalu jauh ke belakang, kita perlu lakukan ‘overhaul’ atau baikpulih kepada seluruh sistem bolasepak kita.

 

FAM Perlu di Reformasi

 

‘Reformasi’, jangan salah tafsir, ia bukan untuk demonstrasi di jalanan, serang menyerang, atau mengujudkan keganasan. Ini gerakan menuntut perubahan secara terhormat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Gerakan ini di lihat sesuai dan menepati kehendak maksudnya. Reformasi perlu dilakukan pengurusan FAM untuk memantapkan dan memperkemaskan kembali urustadbirnya daripada isu dalaman yang melanda sekarang termasuklah pelbagai tuduhan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya. Tak kisahlah ianya benar berlaku, atau itu hanyalah tuduhan dari orang yang dengki. Terkait atau tidak, ianya perlu dilihat dalam konteks ‘keinsafan dan keterbukaan’, ini satu peringatan serius kepada FAM untuk membersihkan imej dan meningkatkan integriti dan akauntabilitinya.

 

Biarpun hanya ‘surat layang’, namun apa yang berlaku di FAM ini sudah pasti berpunca dari aspek kegagalan dan keadilan menguruskan sesama manusia itu sendiri hingga mencetuskan perasaan tidak puashati mereka yang kecewa dan pelbagai sebab lain.  Justeru reformasi ini sangat perlu dan mesti dilakukan untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan yang terarah untuk menjadikan keadaan yang lebih baik terhadap ‘sistem dan eko-sistem’ sedia ada dalam FAM itu sendiri. Ia sebenarnya telah mula bergolak sejak isu ‘pen-drive’ pada 2016 yang membawa kepada pertukaran kepimpinan FAM pada 2017. Adakah dengan isu ‘surat layang’ 2024 ini merupakan  pembuka jalan kepada ‘reformasi’ menerusi ajakan pertukaran kepimpinan FAM pada 2025 nanti?

Memantapkan Kembali Peranan FA

 

Apapun, bertukar atau tidak kepimpinan FAM, peranan setiap Persatuan Bolasepak Negeri (FA) itu perlu diperkasakan kembali. Ini sangat penting terutama kepada aspek program pembangunan di peringkat akar umbi. Namun janganlah sampai peranan FA ini hanya bernilai untuk ‘satu undi’ yang diperlukan sewaktu memilih pemimpin tertinggi FAM sahaja. Jangan gadaikan maruah hanya dengan sedikit “doorgift” atau ‘janji manis’, atau hanya perlu ‘angguk-angguk’ tetapi tidak boleh ‘geleng-geleng’ semata-mata untuk modal ‘survival’ setiap ahli gabungan itu. Tambahan pula peranan FA kini semakin terbatas selepas penyertaan di Liga Malaysia telah diswastakan kepada FC @ kelab. Banyak FA dikatakan ‘goyang kaki’, dan tiada tanggungjawap khusus yang diberikan. Tiada peruntukan untuk menjalankan program pembangunan walaupun ada yang ‘berbisik’, ke manakah perginya geran peruntukan pembangunan daripada FIFA itu? Mungkin tidaklah sebanyak mana, namun ‘sedikit buatlah cara sedikit’.

 

Kita bernasib baik ada Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) hasil inisiatif Majlis Sukan Negara (MSN). Peruntukan berpuluh juta ringgit setahun ini turut ‘membuka mata’ banyak pihak. Biarpun sudah empat atau lima ‘batch’ graduan AMD dilahirkan, malangnya kualiti mereka masih meragukan. Beberapa tugasan yang diberikan kerap gagal, walaupun semasa berada di AMD mereka diakui intan yang terpilih dan permata yang bakal bersinar. Namun belum kelihatan sebutir ‘intan’ pun yang betul-betul bersinar laksana ‘permata’ setakat ini. Jadi, di manakah silapnya?? Apakah kerana bakat-bakat di AMD itu tidak mampu digilap secukupnya oleh jurulatih-jurulatih ‘tangkap muat’ yang dilantik. Kekangannya pula, apakah jurulatih yang memiliki ‘lesen A’ atau ‘Lesen Pro’ rela merendah diri menerima gaji yang lebih kecil untuk berkhidmat di AMD.  Ketidakmenjadian bakat di AMD ini mungkin juga disebabkan terdapatnya ‘missing link’ sebaik mereka bergraduan atau ‘diperap’ oleh pemborong-pemborong ikan yang ‘tamak’ dari pasar-pasar besar.

Wujudkan Sekolah Tinggi Bolasepak (Missing Link)

 

Ini mungkin boleh menjawap sedikit persoalan tentang ‘missing link’. Kebanyakan program pembangunan bolasepak kita berakhir pada usia 17 tahun selepas mereka menamatkan kerjaya di beberapa Akademi-akademi bolasepak yang terdapat di negara ini. Ke manakah mereka selepas itu? Inilah jawapan kepada ‘missing link’ situasi ‘tepu dan terperap’ di atas. Seharusnya kelebihan ‘bonding’ dan ‘chemistry’ yang terbina selama lima (5) tahun sesama mereka di akademi tidak dipersia-siakan dan sepatutnya diteruskan sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi. Sayangnya tiada ‘platform’ lanjutan disediakan bagi tujuan itu. Kita sepatutnya mewujudkan ‘Sekolah Tinggi Bolasepak’ seperti di Jepun untuk memantapkan lagi kerjaya mereka sebagai pemain bolasepak masa depan.

 

Di Jepun, setiap tahun sejumlah 48 pasukan Sekolah-sekolah Tinggi Bolasepak akan berentap selama dua minggu di ‘All Japan High School Soccer Tournament’ yang sangat berprestij dan sudah memasuki edisi ke 102. Selepas itu mereka akan disambut pula di beberapa Universiti di Jepun yang hebat pasukan bolasepaknya untuk meneruskan kerjaya mereka sebelum terpilih bersama skuad kebangsaan. Malangnya kita langsung tidak mempunyai Sekolah Tinggi Bolasepak kecuali lima (5) buah sekolah sukan yang tidak menfokuskan kepada sukan utama negara ini. Saya percaya jika kita mewujudkan beberapa buah Sekolah Tinggi Bolasepak (Pelatih berusia 18-19 tahun atau era Pra U) sudah pasti isu ‘missing link’ dapat di atasi dan kita mempunyai skuad kebangsaan bawah 20 tahun yang sangat mantap dan layak secara merit ke Piala Dunia bawah 20 tahun. Layak secara merit ke Piala Dunia bawah 20 tahun adalah KPI utama yang perlu kita sasarkan daripada kewujudan AMD dan Akademi-akademi bolasepak hebat di negara kita seperti Akademi Bolasepak JDT, Akademi Bolasepak Felda dan lain-lain. Walau bagaimanapun pemilihan pemain mestilah telus dan tidak hanya berpaksikan kepada pemain-pemain daripada Akademi tertentu sahaja.

Liga Malaysia Perlu Lebih ‘Transparensi’

 

Urustadbir bolasepak kita perlu diuruskan secara profesional oleh mereka yang profesional sambil dibantu oleh mereka yang berpengalaman dalam pengurusan sukan termasuklah bekas-bekas pemain. Pengurusan tertinggi bolasepak negara juga sepatutnya ‘bebas sebebas-bebasnya’ daripada sebarang bentuk belenggu penjajahan samada yang tersirat mahupun yang tersurat. Amalan ‘transparensi’ atau ‘keterbukaan’ adalah nilai yang sangat penting dan perlu diamalkan oleh FAM dan mestilah sentiasa konsisten dalam setiap keputusan yang dibuat khususnya dalam pengurusan sesebuah liga bolasepak profesional agar ia tidak ‘bias’ atau dilihat seperti berat sebelah kepada pasukan tertentu sahaja. Kita perlukan hapuskan terus tanggapan peminat bahawa bolasepak negara kita kini dikuasai oleh ‘tokong’, ‘kartel’, ‘mafia’, ‘tangan ghaib’ dan sebagainya.

 

Jangan lupa tentang ‘sustainability’ bermaksud ‘kelangsungan atau keberlanjutan’ iaitu kemampuan sesuatu sistem itu untuk terus bertahan serta berkembang seiring tanpa merosakkan seluruh eko-sistemnya. Bagi saya ia sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada ‘integriti individu’ dan ‘integriti organisasi’ tersebut. Jika kedua-dua integriti ini sudah mula dipersoalkan maka tidak hairanlah akan ujud isu-isu seperti ‘surat layang’, kabar angin, cerita sensasi, tuduhan-tuduhan menerusi media sosial dan sebagainya. Justeru amalan-amalan negatif ini perlu dibersihkan.

Penubuhan Pasukan-pasukan Projek

 

Aspirasi bolasepak Malaysia juga perlu jelas walaupun kita sudah mempunyai Peta Hala Tuju F:30 selama 12 tahun bermula 2019-2030. Bersandarkan kepada pencapaian setakat Fasa II dari 2023-2026 (mencapai peringkat Asia), kita mungkin menghadapi kesukaran dan bakal berdepan kegagalan menjelang Fasa III dari 2027-2030 (mencapai peringkat dunia) nanti. Justeru pendekatan persiapan pasukan kebangsaan dalam pelbagai pertandingan kelayakan samada peringkat umur atau pasukan kebangsaan, kejohanan serantau, Sukan Sea, Sukan Asia, kelayakan Piala Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia tidak boleh lagi secara ‘ad-hoc’ atau ‘ala kadar’, paling lama sebulan atau cuma dua minggu sahaja atas alasan jadual liga tempatan yang padat. Itu tidak termasuk isu pemain-pemain yang tidak dilepaskan oleh kelab masing-masing atas pelbagai alasan. Corak persiapan kita selama ini pula seolah-olah kita memiliki ramai pemain negara yang sedang bermain dengan pelbagai kelab utama di seluruh dunia.

 

Jika kita benar-benar serius dan ingin layak lagi secara merit ke Piala Asia, Sukan Olimpik atau Piala Dunia, tiada jalan pintas (guna pemain warisan atau naturalisasi), sebaliknya kita perlu fokus untuk membangunkan pemain tempatan kita sendiri dengan memberi tumpuan kepada program pembangunan akar umbi seperti yang saya nyatakan di atas. Kenalpasti bakat lebih awal, wujudkan skuad projek mengikut beberapa kitaran atau sasaran iaitu ‘KPI’ yang perlu dicapai. Jika satu kitaran skuad projek itu gagal barulah akan digantikan dengan ‘batch’ berikutnya. Tumpukan ke arah melahirkan sebuah pasukan yang benar-benar bersepadu dan mantap dengan memperkukuhkan ‘bonding’ dan ‘chemistry’ sesama pemain.  Kita perlu ada perancangan jika kita tidak mahu berdepan dengan kegagalan demi kegagalan.

 

Konsep Maju Bersama (Moving Together)

 

Akhir sekali, konsep ‘moving together’ atau ‘maju bersama’ ini perlu kita terapkan bukan sahaja untuk bolasepak kita bahkan juga untuk kemajuan bolasepak di rantau ini. Kedudukan ranking dunia pasukan Asia Tenggara kini melepasi angka seratus. Malaysia pula di kedudukan yang ke empat (138) di belakang Thailand (101), Vietnam (115), Indonesia (134) pada rangking dunia pada awal Mei 2024 ini. Hakikatnya belum ada lagi pasukan Asia Tenggara yang layak beraksi di Piala Dunia. Namun pasukan Asia Tenggara masih sibuk dengan permusuhan untuk menjadi jaguh di rantau ini. Tiada usaha untuk kita maju bersama, bangkit bersama-sama, berganding bahu bersama-sama untuk duduk semeja mencari jalan sehati sejiwa tanpa rasa cemburu atau dengki agar suatu hari nanti muncullah pasukan Asia Tenggara pertama layak beraksi di Piala Dunia.

 

Begitu juga dengan bolasepak di Malaysia hari ini. Tidak terampun rasanya dosa yang telah kita lakukan. Isu gaji tertunggak pemain dan pegawai masih belum selesai. Ada pemain yang ‘bercerai berai’, terpaksa berpisah dengan isteri dan anak-anak kerana tidak dapat menampung kehidupan. Walaupun tidak semua, namun ada juga pemain yang terpaksa ‘gantung boot’ lebih awal kerana sudah putus asa dalam sukan ini.

 

Akhir-akhir ini begitu banyak kebencian yang ditabur dan dihamburkan menerusi sosial media. Hingga ada yang bertindak kejam, sanggup memukul dan menyamun pemain, paling tragis hingga menyimbah asid kepada pemain kebangsaan. Begitu kuat api permusuhan yang dinyalakan. Namun secara realitinya, kita masih lagi sekadar ‘jaguh kampung’. Justeru, jika kita ingin dihormati oleh kawan dan lawan, kita juga perlu menghormati kawan dan lawan kita. Kejarlah pengiktirafan secara terhormat. Barulah kemana-mana kita pergi, kita akan disanjung dan kehadiran kita amat dinanti-nantikan oleh penyokong lawan.

 

Tamat


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading