Antarabangsa Bola Sepak Komentar Rencana Terkini

FAM, Pan Gon, Harimau Malaya sedang bergolak??


Bicara Otai Sukan

Dato Dr Pekan Ramli

Apa sudah jadi kepada skuad Harimau Malaya? Dua kali dibenam Oman di aksi kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 beberapa hari lalu. Apakah ia masih lena tidur sambil dibuai mimpi atau masih kekenyangan dengan pujian yang melangit sekembalinya dari Piala Asia 2023 di Qatar, januari lalu. Hingga taring dan kuku tajam Harimau Malaya langsung tidak kelihatan di Muscat dan Bukit Jalil.

Arakian, kembalinya Harimau Malaya dari Piala Asia Qatar, skuad ini sebenarnya tersingkir awal dan gagal untuk layak ke pusingan kalah mati. ‘Gagal itu tetaplah gagal’, namun peliknya versi kegagalan di Qatar itu berubah sebaliknya. Semuanya dek kerana keupayaan atau nasib kita baik dapat mencuri satu mata menerusi perlawanan pelengkap jadual yang berakhir penuh ‘dramatik dan epik’ menentang musuh ketat (ya itu dulu, sekarang tidak lagi) iaitu Korea Selatan untuk seri tiga sama.

Kejayaan seri dalam perlawanan pelengkap jadual (tewas kepada Jordan dan Bahrain sebelum itu) seolah-olah telah mengubah 360 darjah cerita kecewa dari misi besar yang ‘failure‘ kepada sambutan kepulangan ‘from zero to hero’ kepada Harimau Malaya. (tersipu-sipu malu juga agaknya pegawai-pegawai pasukan dan pemain-pemain yang faham erti kegagalan misi itu).

Ketibaan di ‘bandara’ KLIA disambut ‘megah’ dengan ‘mock cheque’ suntikan dana RM5 juta dari YB Menteri untuk ‘bapa‘ Harimau Malaya (FAM) sebagai tanda terima kasih. Plot cerita ini sangat ‘inverted’, misi sebenarnya gagal tetapi diraikan sangat hebat dengan pujian-pujian tinggi melambung.

Dahlah tak menang, tersingkir awal, tetapi dapat habuan berjuta ringgit. Apa pun kita ‘take it positive) lah. Mungkin ini habuan yang tertangguh kerana Harimau Malaya menunggu 42 tahun untuk layak secara merit beraksi di pusingan akhir Piala Asia ini. Maka oleh sebab itu berbunyilah ‘pahat’ di sana sini, anjing pula bagai ‘menyalak bukit’ dan serigala juga ‘melolong-lolong’ mengadu pada bulan purnama.

Namun oleh kerana kejayaan mengikat Korea Selatan itu bagaikan satu ‘feel good factor’ pada waktu itu, maka bunyi pahat dan salakan anjing serta lolongan serigala itu semakin melemah frekuensinya hingga lenyap begitu sahaja. Bahkan segala cerita-cerita negatif tentang persiapan ke Qatar, isu pemain yang dibawa ke Qatar, tidak cukup perlawanan kompetitif (kecuali satu perlawanan bertemu Syria seminggu sebelum aksi pertama bertemu Jordan) tidak lagi timbul.

Begitu juga tentang persoalan betul ke terdapat ‘tangan ghaib’ dalam soal pemilihan pemain dan juga ‘line up’ khususnya yang diturunkan dalam dua perlawanan awal ketika tewas kepada Jordan dan Bahrain yang dirasakan ‘pelik’ oleh kebanyakan penyokong bolasepak negara.  Malah ramai yang marah kerana merasakan Kim Pan Gon masih lagi ‘bereksperimen’ pada kesebelasan utama di Qatar ini. Tuduhan ini menghiris perasaan Pan Gon dan hingga terbit kenyataan beliau ingin mengundur diri. Namun semua berubah selepas ‘keajaiban’ perlawanan dengan Korea Selatan itu.

Persoalannya, apakah segala tuduhan itu benar atau tidak, atau sememangnya kita tidak akan menemui sebarang jawapan atau pengakuan dan tidak mungkin akan ada sebarang saksi yang berani tampil berkongsi perkara sebenar. Namun kita percaya suatu hari nanti setiap kemungkaran itu akan terserlah. Segala ‘dosa-dosa’ yang dilakukan itu mungkin akan mendapat ‘kifarah’nya di dunia lebih awal. Apakah sudah ada petanda-petandanya? Apakah FAM kini sedang bergolak? Ramai yang sudah mula memperkatakannya……

Kegagalan Harimau Malaya dalam dua misi menentang Oman untuk kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 beberapa hari lalu kembali menimbulkan pelbagai persoalan. Ini seolah-olah bukan skuad Harimau Malaya yang kita saksikan ketika menentang Korea Selatan terutama pada aksi separuh masa kedua di Qatar itu. Prestasi pasukan kali ini lemah, tidak bertenaga, tidak bersemangat, keliru, buntu, tiada hala tuju dan mudah hilang pedoman.

Peminat bolasepak negara sukar menerima kekalahan ini selepas kita bermula dengan cemerlang menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Chinese Taipeh (1-0). Kedudukan Harimau Malaya kini terancam bakal tersingkir daripada kedua-dua aksi kelayakan ini. Ramai peminat sukan negara hairan mengapa Harimau Malaya berehat agak lama selepas pulang dari Qatar. Tidak seriuskah kita untuk berdepan dengan Oman. Pemain pula berada dalam ‘pre dan off-season’ kerana Liga Malaysia hanya bermula Mei nanti. Isu yang sama berulang lagi apabila tiada pasukan kuat dapat menjadi ‘sparring’ sebelum bertemu Oman. Walaupun pemain belum cukup panas, Nepal tetap menjadi mangsa belasahan (5-0).

Nampak gayanya apabila kita tidak membuat perancangan yang betul, kita memang merancang untuk gagal. Selepas tumbang kepada Oman (0-2) di Muscat saya baru dimaklumkan bahawa Pengurus Pasukan Harimau Malaya telah meletak jawatan lebih awal sekembalinya skuad dari Piala Asia di Qatar. Beliau tidak lagi bertugas ketika Harimau Malaya berdepan dengan Oman.

Saya dikatakan orang kepercayaan dan sangat rapat dengan Presiden FAM dan juga disenangi serta disayangi kebanyakan pemain utama kebangsaan. Malah Jurulatih Kim Pan Gon juga dikatakan sangat selesa mempunyai seorang Pengurus yang sangat mengambilberat tentang kebajikan pemain. Beliau juga dikatakan orang yang tidak lokek menyumbang wang ringgit bagi tujuan khusus dan juga untuk kepentingan pegawai FAM.

Perletakan jawatan yang drastik oleh beliau menimbulkan pertanyaan apakah yang sebenarnya telah terjadi di Qatar? Walaupun dirayu untuk kembali memegang jawatan, beliau dikatakan kekal dengan pendiriannya. Sudah pastilah ada sesuatu yang tidak disenangi oleh beliau hingga membuat keputusan demikian. Antara persoalannya apakah benar terdapat isu ‘tangan ghaib’ atau ‘baling batu sembunyi tangan’ sewaktu di Qatar yang tidak menyenangkan Kim Pan Gon dan beliau hingga Harimau Malaya nyaris pulang tangan kosong.

Cerita ‘tangan ghaib’ ini bagi saya sudah biasa kita dengar, cuma timbul pelbagai versi cerita lain yang ‘tidak sihat’ dan agak mengejutkan dan mula kedengaran serta boleh menganggu gugat urustadbir FAM nanti. Apa pun saya berharap semoga segala pergolakan ini dapat diselesaikan segera agar tidak mengganggu misi Harimau Malaya dan pembangunan bolasepak negara nanti.

Tamat


Add Comment

Click here to post a comment