SYARIKAT tempatan yang membina dan menerajui ekosistem air mineral premium bersepadu, Bubbles O2 Sdn. Bhd terus memperkukuhkan komitmennya dalam menyokong pembangunan bola sepak melalui kerjasama strategik bersama Negeri Sembilan Football Club (NSFC).
Kerjasama bagi tempoh tiga tahun ini mencerminkan peranan Bubbles O2 sebagai rakan strategik dalam menyokong pembangunan sukan secara menyeluruh, melangkaui penajaan semata-mata kepada usaha membina ekosistem bola sepak yang lebih mampan dan berdaya saing.
Sebagai jenama yang berakar umbi di Rantau, Negeri Sembilan, Bubbles O2 komited untuk terus memberi kembali kepada negeri melalui sokongan kepada sektor sukan yang menjadi kebanggaan rakyat tempatan.
Melalui kerjasama ini, Bubbles O2 memainkan tiga peranan utama bersama NSFC iaitu sebagai Official Naturally Oxygenated Mineral Water Partner, Venue Sponsor melalui PBNS Bubbles O2 Arena, serta Official Title Sponsor bagi Liga Premier Negeri Sembilan.
Sebagai rakan rasmi air mineral, Bubbles O2 akan memastikan keperluan hidrasi pasukan sentiasa berada pada tahap optimum, menyokong prestasi pemain dari aspek ketahanan fizikal, fokus dan pemulihan sepanjang musim latihan dan perlawanan.
Dalam masa yang sama, penjenamaan PBNS Bubbles O2 Arena, yang merangkumi fasiliti pusat latihan para atlet dan orang awam, mencerminkan kepercayaan terhadap jenama tempatan serta mengukuhkan kehadiran Bubbles O2 sebagai sebahagian daripada identiti pasukan dan pengalaman penyokong.
Selain itu, melalui peranan sebagai penaja utama liga, Bubbles O2 kini memegang hak penamaan rasmi liga tersebut yang dikenali sebagai Bubbles O2 Liga Premier Negeri Sembilan, sekaligus memperkukuhkan platform sedia ada dan menyokong pembangunan bakat baharu di peringkat negeri.
Dengan prestasi Negeri Sembilan FC yang semakin memberangsangkan dalam perlawanan serta sokongan padu daripada para penyokong, Bubbles O2 melihat kerjasama ini sebagai satu penajaan yang bersifat “win-win” kepada kedua-dua pihak.
Semangat “Hobin Jang Hobin” yang menjadi kebanggaan penyokong Negeri Sembilan turut mencerminkan kekuatan komuniti dan kesetiaan peminat, yang diyakini mampu memberi nilai tambah yang signifikan kepada
jenama, pasukan serta pembangunan bola sepak negeri secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Sdn. Bhd, Abdul Aziz Arifin berkata, kerjasama ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuhkan peranan syarikat dalam pembangunan sukan tempatan.
“Sebagai syarikat yang beroperasi di Rantau, Negeri Sembilan, kami melihat kerjasama ini sebagai satu tanggungjawab untuk kembali berkhidmat kepada komuniti setempat.
“Ini bukan sekadar simbolik penyerahan cek tajaan, tetapi merupakan komitmen jangka panjang dalam menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak di Negeri Sembilan.
“Kami percaya bahawa sukan bukan sahaja menyatukan rakyat, tetapi juga menjadi platform penting dalam membentuk disiplin dan jati diri generasi muda,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Tajaan di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri.
Majlis tersebut telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Bubbles O2 Sdn. Bhd., Dato’ Arifin Marzuki, bersama Pengarah Urusan, Puan Ain Azizah Arifin, serta barisan kepimpinan NSFC termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Faliq Firdaus.






Add Comment