
SKUAD Bawah 16 tahun negara, Destiny Eagles FC muncul sebagai johan Meet the World with SKF Kejohanan Malaysia 2026 sekali gus meraih peluang tajaan untuk mewakili Malaysia bagi menyertai Piala Gothia 2026 di Gothenburg, Sweden pada Julai ini.
Bermain dalam keadaan panas melampau dan persaingan sengit, pasukan berkenaan berjaya meraih kemenangan dan mendapat tempat dalam kejohanan bola sepak remaja terbesar dan paling berprestij, yang menghimpunkan lebih daripada 40,000 pemain dari 80 negara.
Kejohanan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Meet the World SKF Group, satu program sosial yang berfungsi sebagai pra kejohanan rasmi Piala Gothia di Malaysia.
Inisiatif berkenaan melambangkan komitmen sekian lama SKF terhadap pembangunan remaja yang memberikan peluang kepada pasukan muda Malaysia menyertai Piala Gothia sejak 2008.
Duta Sweden ke Malaysia, TYT Niklas Wiberg, menyampaikan trofi dan pingat kepada pasukan yang menang dalam kejohanan itu.
Beliau turut menyertai pemain di padang untuk perlawanan persahabatan, sekali gus mengetengahkan peranan sukan dalam memupuk hubungan pelbagai budaya.
Pengarah Urusan SKF Malaysia, Vignesh Nathan berkata, SKF berbangga untuk menjadi penaja utama Piala Gothia, lantaran ia menggambarkan nilai kerja berpasukan, tanggungjawab dan peluang yang saksama.
“Bukan sekadar pertandingan, ia turut menyediakan platfom yang bermakna untuk pemain muda ini belajar, berhubung dan berkembang merentasi pelbagai budaya,” ujarnya.
Kejohanan berkenaan dianjurkan oleh SKF Malaysia, manakala Pusat Pembangunan Bola Sepak Destiny (DFDC) dilantik sebagai rakan teknikal dengan kepakarannya dalam pembangunan bola sepak, tadbir urus teknikal dan penglibatan akar umbi.

Meet the World with SKF Kejohanan Malaysia 2026 menghimpunkan lima pasukan bola sepak bawah 16 tahun yang berasaskan komuniti dengan menyediakan peluang yang saksama kepada pemain muda daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai platfom di peringkat akar umbi yang dianjurkan secara profesional.
Kapten Destiny Eagles FC, Gautham Raj, 16, menzahirkan keterujaannya dan gembira dengan penganjuran kejohanan seumpama ini.
“Saya benar-benar gembira kerana kami dapat membuktikan diri dan kami akan bermain di Sweden ini merupakan peluang besar untuk mewakili Malaysia,” tegasnya.
Meet the World with SKF terus memperkasa laluan untuk remaja Malaysia mencapai peluang dalam bidang sukan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa bola sepak bukan sekadar pertandingan— lantaran ia turut menyaksikan perkembangan peribadi menjangkaui sesebuah kejohanan.








Add Comment