
ANDAI skuad bola sepak negara merenung kembali sajian dipersembahkan mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia mungkin ‘igauan Oman’ akan terus menghantui mereka.
Rasa perit itu tetap menebal kerana dua kekalahan dan enam mata yang hilang itu boleh ditakrif sebagai antara punca utama kenapa kita tersingkir dalam kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berakhir, baru-baru ini.
Cuma kejayaan mengatasi Taiwan 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Selasa mencetus sedikit penawar duka.
Apa pun, hakikat sebenarnya Harimau Malaya sama ada tidak cukup mantap secara keseluruhan atau pun gagal menjelmakan persembahan berkualiti kerana peluang merampas mata tetap wujud ketika berdepan cabaran Oman.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon walaupun tidak menyebut secara terus terang akan ‘igauan Oman’ itu namun daripada kenyataan diberi olehnya tempoh hari, jelas ada mesej tersembunyi yang mahu menceritakan detik kehampaan pengendali berusia 55 tahun berasal dari Korea Selatan itu.
Dia cuma merumuskan secara ringkas apabila menyebut kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebagai saingan paling menyakitkan sepanjang tempoh mengendalikann skuad kebangsaan.
Memang benar. Segala-galanya berubah apabila kita tewas pada dua pertemuan berturut-turut menentang Oman selepas memulakan kempen dengan nota ceria mendahului kumpulan berbekal enam mata.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu lagi (tewas kepada Oman). Saya akui strategi yang digunakan tidak menjadi ketika lawan Oman,” katanya pada sidang media tempoh hari.
Andai berpandu kepada persembahan anak didik Pan-gon itu di laman sendiri pada 26 Mac lalu, aksi mereka boleh dilabel terpuji dengan permainan lebih tersusun dengan hantaran bola lebih meyakinkan. Tambahan sorakan puluhan ribu penyokong di bumi sendiri membangkitkan semangat perjuangan pemain.
Namun, pasukan kita seolah-olah membenarkan lawan pula pulang mengutip mata penuh dengan kemenangan 2-0 hasil kealpaan sendiri. Keputusan itu kemudian sekadar memberi bayangan awal kemaraan Harimau Malaya dalam kempen kelayakan seakan-akan sudah hampir mahu berakhir.
Peluang itu dikaut oleh Kyrgyzstan yang menamatkan cabaran dengan mengikat pendahulu, Oman 1-1 di Muscat pada hari yang sama. Pasukan berkenaan berjaya memintas Malaysia dengan hanya kelebihan satu mata selaku naib juara kumpulan dengan modal perbezaan jaringan besar.
Kegagalan kita layak automatik ke Piala Asia juga ada sedikit kaitan dengan keputusan 1-1 ketika menentang pasukan bergelar White Falcons itu di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada 6 Jun lalu.
Tapi Kyrgyzstan bukan bahan hujah utama kita kerana memang pasukan itu nampak liat di tempat sendiri. Apa yang wajar dibicarakan adalah kenapa kita gagal mengutip mata menentang Oman dalam dua perlawanan timbal balik itu.

Bagaimanakah gambarannya ketika ini jika berjaya mencuri mata dari Oman di gelanggang sendiri atau pun lebih realistik mengutip mata penuh bagi menguatkan peluang layak secara automatik ke Piala Asia 2027.
Itulah mentaliti diperlukan dalam pasukan pada situasi seperti ini tapi kita gagal dalam misi itu ketika memiliki segala kemampuan mencipta detik gemilang di Bukit Jalil.
Mungkinkah, pasukan kita terperangkap dengan ‘faktor psikologi’ ciptaan sendiri apabila kerap membandingkan ranking dunia Oman dengan kita. Ya, benar jika atas perkiraan itu kita bukan tandingan lawan yang berada di tangga ke-77 manakala kita ketinggalan di tempat ke-138.
Tapi anehnya, faktor itu tidak banyak mengganggu fokus pemain apabila menewaskan Kyrgyzstan 4-3 yang berada dalam ranking ke-100 dunia, di Bukit Jalil dalam perlawanan pembuka tirai pada 16 November 2023.
Jika mahu menang, ranking lawan bukan elemen penting tapi tunjukkan taring sebenar pada hari perlawanan. Selagi rasa hormat kepada lawan lebih tersohor masih wujud selagi itu kita tak ke mana. Ini bola sepak dan setiap pasukan sentiasa ada peluang seimbang.
Kita bercakap ini pun hanya mengenai pasukan dalam kelompok saingan kita di peringkat serantau dan benua sahaja – bukan Brazil, Jerman atau Sepanyol, umpamanya.
Ringkasnya, tunjuk dulu belang kita di pentas saingan Asean dan Asia dengan aksi lebih konsisten serta ada satu tabiat mahu sentiasa menang. Perwatakan ini pun sudah cukup baik dan terpuji.
Majulah sukan untuk negara!





Add Comment