Bola Sepak Terkini

Piala Malaysia 2025-2026 : Pengadil luar beri kelainan

Kehadiran pengadil antarabangsa bagi final berprestij itu musim ini sebagai satu langkah .

KETUA jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan keputusan Malaysian Football League (MFL) menggunakan pengadil luar negara bakal memberikan kelainan tersendiri untuk perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), 23 Mei ini.

Katanya, kehadiran pengadil antarabangsa bagi final berprestij itu musim ini sebagai satu langkah positif untuk memberikan aura yang lebih berbeza di TM Stadium Nasional nanti.

Malah, situasi berkenaan bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya kerana beliau pernah melalui pengalaman sama ketika membimbing Kedah pada final Piala FA 2019 menentang Perak yang ketika itu perlawanan dikendalikan oleh pengadil dari Jepun.

“Bagi saya, ia satu perkara yang bagus sebab saya sendiri pernah lalui situasi sama pada final 2019, memang suasana lain daripada lain, apabila aksi final seperti itu adanya individu lain untuk beri kita sesuatu yang lebih segar dan berbeza.

“Bezanya ketika itu Kedah sudah mempunyai reputasi besar dan pengalaman beraksi di final serta pernah memenangi trofi. Kali ini, agak lain sedikit sebab saya membawa Kuching City yang pertama kali melangkah ke final, sejarah baru untuk kelab ini”, katanya.

Dalam masa sama, Aidil turut berpendapat bahawa keputusan yang menurutnya ramai telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang musim ini.

“Saya teruja dengan penglibatan pengadil luar negara untuk final ini tapi tidaklah bermakna pengadil tempatan kita tidak bagus.

“Ramai juga yang telah melakukan tugas dengan baik dan sejak 2019 selepas kehadiran pengadil dari luar, saya tengok sendiri peningkatan daripada pengadil-pengadil tempatan saban musim.

“Malah, ada juga pengadil Malaysia seperti Razlan Joffri, Nazmi Nasaruddin yang pernah mengendalikan perlawanan liga di Indonesia, dan ianya satu perkara yang cukup bagus.

“Tetapi saya fikir untuk peminat dan juga kedua-dua finalis ini, tentunya kehadiran muka baharu di final dapat memberi pengalaman yang lebih lain”, tambahnya.

Apa yang pasti, beliau berharap fokus barisan pemain tetap di tahap terbaik apabila kini mempunyai dua misi utama iaitu untuk meraih slot ke Asia pada Ahad ini dalam aksi terakhir Liga Super menentang KL City FC seterusnya bersedia untuk berdepan juara bertahan Piala Malaysia, JDT pada 23 Mei depan.


Add Comment

Click here to post a comment