
TIGA pelumba muda negara, Qasha Irfan Azlan, Al-Adam Mikail dan Haqim Al Mahdi mencuri tumpuan pada aksi pembukaan MotoMini Malaysia 2026 selepas masing-masing meraih dua kemenangan berturut-turut dalam kategori berbeza sekali gus mengukuhkan status sebagai pencabar awal kejuaraan musim ini.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada kategori MotoMini Malaysia 190cc apabila Qasha Irfan tampil cemerlang dengan mengungguli kedua-dua perlumbaan untuk mengumpul 50 mata penuh.
Lebih membanggakan, pelumba berusia 12 tahun daripada Team 4 Racing itu berjaya melakar pencapaian berkenaan biarpun baru membuat penampilan sulung dalam kategori 190cc.
Qasha yang sebelum ini pernah mewakili negara pada FIM MiniGP World Final di Valencia, Sepanyol tahun lalu, mempamerkan penguasaan penuh dalam Perlumbaan 1 apabila menamatkan 18 pusingan dengan catatan masa 13 minit 58.597 saat (s) untuk meraih 25 mata maksimum.
Beliau meninggalkan pencabar terdekat, Qayyim Razin daripada MotoSP Ravenol Racing dengan jurang 4.561s, manakala Malek Ridha melengkapkan podium di tempat ketiga.
Momentum cemerlang itu diteruskan dalam Perlumbaan 2 apabila Qasha sekali lagi menguasai perlumbaan tanpa dicabar hebat pelumba lain untuk melengkapkan hujung minggu sempurna dengan dua kemenangan berturut-turut.
“Syukur dapat tempat pertama. Terima kasih kepada ayah yang mengajar saya sejak kecil dan abang (Qabil Irfan) yang banyak membantu. Saya hanya mahu buat yang terbaik. Saya puas hati dengan kejayaan ini kerana ia hasil latihan keras,” kata Qasha.

Kemenangan berganda itu menyaksikan Qasha kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori 190cc dengan 50 mata penuh, diikuti Qayyim Razin dan Malek Ridha yang masing-masing mengumpul 36 mata. Airel Marzuki berada di tangga keempat dengan 26 mata, manakala Al Syafiq melengkapkan kelompok lima terbaik menerusi 21 mata.
Dalam kategori 160cc, juara bertahan Al-Adam Mikail daripada pasukan Scooter.my ZNEXLAB IGOL Racing Team tampil garang apabila mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menguasai kedua-dua perlumbaan.
Al-Adam membuka kempen dengan kemenangan dalam Perlumbaan 1 selepas melengkapkan 17 pusingan dalam masa 13 minit 34.456s.
Beliau meninggalkan rakan sepasukan, Rayqarl Alhayy, di tempat kedua dengan jurang 5.613s, manakala Aryan Mikhail daripada Team 4 Racing menamatkan saingan di tempat ketiga.
Dominasi Al-Adam diteruskan dalam Perlumbaan 2 apabila beliau sekali lagi muncul juara untuk mengesahkan kutipan maksimum 50 mata keseluruhan.
“Tadi saya cuba kekal di depan dan terus berlawan. Alhamdulillah, rezeki hari ini dapat cipta jurang jauh dengan pelumba belakang,” kata Al-Adam.
Aryan Mikhail menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Qaish Isyraf daripada JRQR Racing Team melengkapkan podium. Hasil keputusan tersebut, Aryan Mikhail kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 36 mata, diikuti Rayqarl Alhayy (33 mata), Qaish Isyraf (29 mata) dan Naufal Aryan (22 mata).
Dalam kategori SIC Ohvale Junior, perhatian turut tertumpu kepada pelumba HF MotoMini Team, Haqim Al Mahdi apabila pelumba termuda dalam grid berusia tujuh tahun itu terus mencuri perhatian dengan dua kemenangan bergaya.
Memulakan perlumbaan dari petak utama, Haqim terlibat dalam saingan sengit bersama Wan Adra Mikayla daripada Team 4 Racing sebelum berjaya mempamerkan semangat juang tinggi untuk merampas semula kedudukan pendahulu dan melintasi garisan penamat selaku juara.
Prestasi cemerlang itu diteruskan dalam Perlumbaan 2 apabila Haqim sekali lagi mendominasi saingan untuk mengekalkan rekod sempurna sepanjang hujung minggu ini.
Wan Adra menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Aqeef Darwish daripada H&H Soya Cincau MotoMini berada di tempat ketiga.
“Saya sangat gembira. Terima kasih kepada semua,” kata Haqim ringkas.
Haqim mendahului kedudukan keseluruhan SIC Ohvale Junior dengan 50 mata penuh, meninggalkan Wan Adra Mikayla di tangga kedua (40 mata) dan Aqeef Darwish di tempat ketiga (32 mata).
Fayyadh Anaqi serta Safuddin Shaharizan pula berkongsi 24 mata.
Kategori RCB MotoKidz pula menyajikan aksi paling mendebarkan pada pusingan pembukaan apabila Al Fateh Iskandar daripada KBG Motorsport muncul juara Perlumbaan 1 dengan catatan masa 9 minit 24.714s.
Bagaimanapun, kemenangan itu hanya dipisahkan jurang 0.177s di hadapan Ayden Maleeq daripada M8 Racing Team.
Perlumbaan 2 kemudian menjadi pentas kebangkitan buat M8 Racing Team apabila pasangan adik-beradik, Faith Mikael dan Ayden Maleeq, menghadiahkan kedudukan satu-dua buat pasukan mereka.
Rakan sepasukan, Emyr Asyhman, melengkapkan podium untuk memastikan penguasaan penuh M8 Racing Team. Keputusan itu membolehkan Ayden Maleeq menerajui kedudukan keseluruhan dengan 40 mata.
“Perlumbaan pertama saya terjatuh, namun dalam Perlumbaan 2 saya bangkit untuk kembali meraih kemenangan,” kata Faith Mikael.
Faith Mikael kini mengumpul 35 mata, manakala Adam Harris dan Emyr Asyhman masing-masing meraih 29 mata. Al Fateh Iskandar berada di tangga kelima dengan 25 mata.
Walaupun beberapa kategori menyaksikan dominasi jelas daripada pelumba tertentu, aksi sepanjang pusingan pembukaan tetap memperlihatkan persaingan kompetitif, khususnya dalam perebutan kelompok podium dan kedudukan keseluruhan kejuaraan.
Pusingan kedua yang dijadual berlangsung di Horizon Beranang Circuit pada 20 dan 21 Jun depan dijangka menjadi medan penting buat pencabar lain merapatkan kedudukan keseluruhan serta mencabar penguasaan pelumba-pelumba di tangga teratas.










Add Comment