
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM), melantik empat pegawai perlawanan berprofil tinggi dari Qatar untuk mengadili Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2025-2026, Johor Darul Ta’zim lwn Kuching City FC yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 23 Mei 2026.
Mereka terdiri daripada Mohammed Ahmed Al Shammari selaku Pengadil, Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2 serta Meshari Ali Alshamari selaku Pengadil VAR, dengan kesemua mereka bertaraf Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Keempat-empat pegawai ini bukanlah nama asing di pentas bola sepak antarabangsa. Pengadil bersama kedua-dua Penolong Pengadil serta Pengadil VAR pernah mengendalikan beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia B-17 FIFA dan Perlawanan Akhir Qatar Emir Cup, membuktikan pengalaman serta kredibiliti mereka dalam mengurus perlawanan berintensiti tinggi.
Pelantikan pengadil dari luar negara ini dibuat selepas FAM menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) bagi memilih pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu.
Untuk rekod, FAM sebelum ini pernah melantik pengadil luar pada Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019, Perak lwn Kedah di venue yang sama iaitu tiga pegawai perlawanan dari Jepun – Takuto Okabe selaku Pengadil, dibantu oleh Akane Yagi dan Osamu Nomura sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2.
Perlawanan Akhir Piala Malaysia sentiasa menjadi acara kemuncak bola sepak negara. Justeru, FAM komited untuk memastikan setiap aspek penganjuran termasuk pengadilan mencapai standard terbaik selaras dengan reputasi kejohanan tertua dan paling berprestij di Malaysia.






Add Comment