Antarabangsa Bola Sepak Terkini

Pengadil luar negara ditugaskan adili perlawanan akhir Piala Malaysia 2025-2026

Keputusan untuk menggunakan kepakaran pengadil luar negara ini dibuat sebagai langkah untuk memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik

PENGADIL d?ri luar negara ditugaskan bagi mengadili Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2025-2026 di antara juara bertahan  Johor Darul Ta’zim menentang Kuching City FC di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Mei ini.

Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, pihak MFL telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memilih pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu.
“Pihak MFL telah membuat permohonan rasmi kepada FAM untuk mendapatkan empat pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil dan satu pengadil VAR (Video Bantuan Pengadil).
“Keputusan untuk menggunakan kepakaran pengadil luar negara ini dibuat sebagai langkah untuk memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik selain menjamin integriti dan kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.
“Kemuncak aksi final Piala Malaysia ini sudah pasti perlawanan yang berprofil tinggi jadi dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa, saya percaya ia akan meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong.
“Malah dengan kehadiran pengadil luar negara ini, ia juga sebagai pertukaran kepakaran di mana pengadil tempatan dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dalam usaha kita membangunkan kualiti pengadil tempatan,” katanya.
Tambah Dato’ Ab Ghani, keputusan ini juga dibuat rentetan cadangan penggunaan pengadil luar negara yang dibangkitkan dalam sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga yang berlangsung pada 29 April lalu.
“MFL sentiasa mendengar cadangan Rakan Kongsi untuk sebarang penambahbaikan dalam semua aspek pengelolaan perlawanan namun dalam penggunaan pengadil luar negara, MFL perlu membuat pertimbangan yang baik apatah lagi ia melibatkan kos yang tinggi.
“Bagaimanapun langkah ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam saingan domestik di mana sebelum ini khidmat pengadil dari Jepun pernah digunakan bagi mengadili Final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak,” jelasnya.
Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2025-2026 bakal menyajikan pertembungan menarik di antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kelab yang berjaya menjejakkan kaki buat kali pertama di pentas final iaitu Kuching City FC.

Add Comment

Click here to post a comment