Terkini

Pelajar ILKBS disaran sertai pertandingan kemahiran dan inovasi

Kejohanan ini berlangsung pada 11 hingga 14 Mei 2026 berjaya menghimpunkan seramai 1,134 pelajar ILKBS dari seluruh negara.

PELAJAR Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) digalakkan untuk menyertai pertandingan kemahiran dan inovasi di pelbagai peringkat bagi memperkukuh bakat teknikal serta memperluas jaringan profesional.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya juga terus komited menyokong pembangunan belia melalui Dana Antarabangsa Belia (IYF) bagi membuka peluang penyertaan di peringkat global.

“Menyentuh cabaran semasa termasuk konflik Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi global dan kos sara hidup rakyat, warga ILKBS turut diseru mengamalkan budaya berjimat cermat serta mengelakkan pembaziran dalam kehidupan seharian,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-38 tahun 2026 di Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Negeri Sembilan.

Kejohanan ini berlangsung pada 11 hingga 14 Mei 2026 berjaya menghimpunkan seramai 1,134 pelajar ILKBS dari seluruh negara.

Sebanyak tujuh acara sukan telah dipertandingkan iaitu bola sepak, bola tampar, bola baling, sepak takraw, badminton, go kart dan tenpin boling.

Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform pembangunan bakat sukan dalam kalangan pelajar TVET, malah turut membentuk sahsiah belia melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan dan kokurikulum sejajar dengan inisiatif Rakan Aktif di bawah program Rakan Muda.

Majlis penutupan kejohanan turut menyaksikan pengumuman rasmi bahawa Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai telah dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Sukan ILKBS kali ke-39 bagi tahun 2027.

KBS juga menyeru belia di Malaysia agar hadir memeriahkan Sambutan Hari Belia Negara yang akan diadakan pada 15 hingga 17 Mei 2026 di d’Tempat dan X Park, Sendayan, Negeri Sembilan.

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment