
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan permohonan pembidaan bagi penganjuran Asia-Pacific Deaf Multi-Sport Championships 2026 yang akan berlangsung pada 3 hingga 10 Oktober 2026 di Pulau Pinang.
Kelulusan ini diberikan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh pembangunan sukan inklusif serta memperluaskan penglibatan atlet pekak di peringkat antarabangsa.
Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruen turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan dan kelulusan yang diberikan terhadap pembidaan kejohanan tersebut.
“Kami berterima kasih kepada KBS dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang menerima usaha persatuan sekaligus temasya ini akan meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan diperingkat antarabangsa.
Tambah Ong Shin Ruen lagi, penganjuran kejohanan ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkasakan pembangunan sukan komuniti pekak di rantau Asia Pasifik.
“MSDeaf komited untuk memastikan segala persiapan penganjuran Asia-Pacific Deaf Multi-Sport Championships 2026 berjalan lancar dan teratur.
“Kami yakin kejohanan ini bukan sahaja akan memperkasakan pembangunan sukan komuniti pekak, malah mampu memberi impak positif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya.”katanya lagi











Add Comment