
BAHANG saingan sukan permotoran akar umbi negara kembali memuncak apabila musim baharu Kejuaraan FIM MotoMini Malaysia 2026 bakal membuka tirai di Litar Antarabangsa LYL dari 15 hingga 17 Mei ini.
Pertempuran aksi pembuka tirai itu dijangka berlangsung sengit dengan barisan pelumba muda terbaik negara turun memburu kemenangan pertama musim ini selepas menjalani persiapan rapi sejak awal tahun.
Musim ini, MotoMini Malaysia 2026 kekal mempertandingkan dua kategori utama iaitu MotoMini 160 dan MotoMini 190 selain turut disokong kategori SIC Ohvale Junior Championship serta RCB MotoKidz Championship.
Lebih menarik, penganjur musim ini memperkenalkan konsep perlumbaan berasaskan pasukan dalam usaha membentuk ekosistem lebih profesional bagi pembangunan bakat pelumba cilik negara.
Menerusi konsep baharu itu, setiap pasukan diwajibkan mempunyai minimum dua pelumba dan maksimum empat pelumba selain perlu berdaftar secara rasmi di bawah Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
Sebagai nilai tambah, MotoMini Malaysia turut memperkenalkan anugerah ‘Team Best Award’ yang akan diberikan kepada pasukan dengan pungutan mata keseluruhan tertinggi sepanjang musim.
Pada edisi kali ini, tumpuan pastinya terarah kepada dua naib juara musim lalu, Wan Hakim Al Mahdi dan Firash Naufal yang kini bergabung di Bawah satu payung iaitu pasukan HF MotoMini dengan misi menebus kekecewaan musim 2025.

Wan Hakim yang sebelum ini bersaing dalam kategori RCB Minimoto akan beraksi dalam SIC Ohvale musim ini, manakala Firash pula dinaikkan ke kategori MotoMini 160 selepas aksi cemerlang tahun lalu.
Gandingan tersebut dilihat antara pencabar utama musim ini berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan mereka sebelum ini.
Dalam kategori SIC Ohvale Junior Championship, NJ Racing Team bakal mempertaruhkan Fayyadh Anaqi dan Safiuddin Shahrizan, namun dijangka menerima tentangan sengit daripada RA Racing Team yang dibarisi Raqib Rozman dan Ayden Hafreez.
Sementara itu, kategori MotoMini 160 turut menyaksikan kemunculan beberapa pelumba muda berbakat termasuk Faiz Hakimi dan Arsyad Rashid dari AF Rookie Racing Team yang bersedia mencuri perhatian pada aksi pembukaan musim. AB Racing Team pula tampil dengan kekuatan besar menerusi gandingan Al-Adam Mikail, Naufal Aryan, Aisy Wafiy dan Rayqarl Alhayy yang berazam mendominasi saingan sejak pusingan pertama lagi.
Tidak ketinggalan, TW Racing Team turut membawa cabaran besar apabila menyertai dua kategori serentak menerusi Rayyan Mikael dan Abdurrahman Izzuwandi dalam SIC Ohvale serta Rayyan Thaqif dan Ariff Rayyan bagi kategori MotoMini 160.

Kehangatan musim ini turut diserikan dengan kehadiran pelumba wanita muda, Adra Mikayla yang bakal membawa cabaran Team 4 Racing dalam kategori SIC Ohvale Junior Championship.
Selain Adra, Team 4 Racing turut diperkuatkan dengan kehadiran naib juara MotoMini 160 musim lalu, Qasha Irfan Azlan yang kini bersaing dalam kategori MotoMini 190 bersama Airel Marzuki, manakala Aryan Mikhail akan membawa cabaran dalam kategori MotoMini 160.
Pusingan pertama di Litar LYL dijangka menjadi pentas penting buat semua pelumba muda membuktikan kemampuan masing-masing dalam usaha memburu gelaran juara musim 2026.






Add Comment