Antarabangsa Terkini

Tang Jie- Ee Wei, Bonnie Bunyau atlet terbaik Anugerah SAM 100 PLUS 2025

Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila muncul beregu campuran pertama dan gandingan ketiga dari sukan badminton

GANDINGAN Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang melakar sejarah beregu campuran pertama Malaysia muncul juara dunia, dinobatkan Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025.

Beregu keempat dunia itu menewaskan empat calon lain iaitu ratu wushu negara Tan Cheong Min, Emma Firyana Saroji (boling padang), Muhd Rafiq Ismail (tenpin boling), dan Mohd Abdul Latif Maxzakir (silat).

Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila muncul beregu campuran pertama dan gandingan ketiga dari sukan badminton yang meraih anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2025 selepas dua beregu lelaki iaitu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1995, 1996) dan Koo Kean KiatTan Boon Heong (2006).

Atlet lain dari sukan badminton pernah dinobatkan Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS ialah Datin Wong Mew Choo (2007) dan Datuk Lee Chong Wei (2008).

Sementara itu, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan apabila dinobatkan Atlet Para Terbaik, susulan pencapaian mengungguli Kejohanan Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah, Mesir, sekali gus mencipta sejarah muncul juara dunia buat kali keempat berturut-turut.

Ini merupakan kali keempat Bonnie Bunyau dinobatkan Atlet Para Terbaik, menyamai rekod pencapaian jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang sebelum ini memegang rekod sebagai penerima terbanyak anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS dengan empat kemenangan.

Pemenang masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Tafiq Johari.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Rahimi Ismail, Pengerusi Fraser & Neave Holdings Berhad Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Dr Nur Azmi Ahmad dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet, SAM turut memberi penghargaan kepada ahlinya yang banyak menyumbang kepada pembangunan sukan di negara ini menerusi pelbagai kategori termasuk anugerah utama iaitu Anugerah Siebel yang dimenangi wartawan senior dari Astro Muhammad Rizal Hashim, yang turut memenangi kategori Laporan Khas Terbaik Terbuka.

Selain itu, Anugerah Pengulas Sukan Popular edisi keempat menjadi milik Izwan Mohd Nor dari Astro Arena yang memenangi undian tertinggi iaitu sebanyak 173,336, menewaskan pencabar terdekat dari RTM Aizuddin Nizam yang memperoleh 14,330 undi.

Undian bagi Pengulas Sukan Popular dijalankan secara dalam talian bermula 7 hingga 12 Mei. Kategori lain bagi anugerah kewartawanan yang dipertandingkan ialah Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), dan Fotografi Sukan Terbaik.

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading