
BINTANG badminton negara, Lee Zii Jia bagai sudah mendapat ‘angin baru’ dalam kerjaya profesional, kebetulan tepat pada waktunya ketika mahu menyahut cabaran di Sukan Olimpik di Paris, Julai ini.
Kejayaan menjulang trofi kejuaraan Terbuka Australia dan Terbuka Thailand dalam tempoh sebulan ini serta keputusan terpuji layak ke final Masters Malaysia di bumi sendiri, bulan lalu harus mencetus semangat dan keyakinan diri betapa dia sudah menghampiri tahap kemampuan milik barisan lawan yang berstatus elit ketika ini.
Jika enam bulan lalu kita membangkitkan persoalan apakah Zii Jia ada peluang memburu pingat di temasya Olimpik, jawapannya sudah pasti “tidak” atau pun mustahil sama sekali.
Persembahan hambarnya pada tempoh berkenaan, tanpa sebarang arah dan kerap terumbang ambing hanya menceritakan betapa peminat badminton negara akan tetap lega jika dia dapat layak sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Kini, jalan cerita pemain berusia 26 tahun dari Alor Setar meniti ke arah berbeza dan dipercayai dapat memadamkan kritikan atau pun tanggapan sinis seumpama itu apabila memulakan cabaran di Arena Adidas pada 27 Julai sehingga 5 Ogos ini.
Hanya, Zii Jia sahaja yang tahu apa yang mampu dilakukan olehnya. Jika dia bangun pagi dan memutuskan untuk menjadi juara, hakikat itu mungkin bukan satu omongan.
Dia tampak sudah dahagakan kejayaan besar, sama seperti hajat sekelompok pemain tersohor dunia lain, termasuk juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark yang mengidamkan laluan naik ke podium di Paris.
Penulis masih ingat, kira-kira tiga tahun lalu, legenda negara, Datuk Lee Chong Wei pernah berkata penggantinya itu ada kemampuan untuk naik ke podium di Tokyo tapi tidak menjanjikan kilau pingat – sama ada ia emas, perak atau pun gangsa.
Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali berturut-turut itu (2008, 2012, 2016) berkata penggantinya itu ada segala ramuan serta memiliki ketinggian cukup baik untuk bergelar juara. Kata-kata itu terbit daripada mulut Chong Wei selepas gemilang dilakar Zii Jia apabila menjuarai mahkota All England pada 2021.
Namun, sasaran pingat di Tokyo tidak tercapai apabila jaguh negara itu terkandas awal dalam saingan pusingan kedua pada 29 Julai 2021.

Selepas itu, Chong Wei juga pernah membidas dan menegur pemain negara itu beberapa kali kerana sikap dan pendekatan dalam permainan sehingga mengalami kemerosotan mendadak sejak lebih setahun lalu. Tambahan, keputusannya untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dianggap pengkritik dan pemerhati sebagai satu tindakan yang merugikan diri sendiri.
Mungkin teguran seperti ini membawa suatu rahmat kepada Zii Jia pada hari ini.
Dia sudah hampir pulih daripada detik sengsara. Kita semua harap begitulah penyudahannya sehingga cabaran di Paris tamat.
Tahun ini, dia sekali lagi meletakkan sasaran untuk mengintai peluang memenangi emas bagi kontinjen negara di Paris. Berpandu kepada prestasi semasa, peluang baginya agak seimbang.
Seperkara penting yang harus dibicarakan adalah pemain tinggi lampai ini, dengan tunjuk ajar dan inspirasi daripada jurulatih, Wong Tat Meng, sudah berubah wajah kepada pemain yang mula digeruni lawan seperti pemain No. 2 dunia, Axelsen, pemain No.1 yang baru, Shi Yu Qi (China), pemain No.3, Jonatan Christie (Indonesia) atau Li Shi Feng (China) yang menghuni tangga kelima.
Tidak dinafikan jurulatihnya berusia 57 tahun itu boleh menjadi ‘faktor penentu’ kejayaannya di Olimpik nanti. Dia lebih mirip seorang sifu yang pendiam tetapi memberi kata-kata perangsang dan tunjuk ajar yang mempunyai impak besar dalam perubahan pada diri Zii Jia ketika ini.
Sejak mengambil alih tugasan berat itu pada Jun tahun lalu, Tat Meng dilihat banyak bersabar dan tidak menekan anak didiknya itu. Mungkin juga lebih menggunakan pendekatan psikologi.
Dia secara perlahan-lahan meningkatkan tahap keyakinan pada Zii Jia berpandu kepada prospek dan bakat besar milik pemain elit dunia itu.
Sejurus selepas mengalas tugasannya, Tat Meng pernah menyuarakan rasa tidak setuju dengan pasukan yang menguruskan pemain itu (Team LZJ) yang anehnya menyasarkan buruan pingat emas pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Dia berpendapat Paris 2024 adalah gelanggang tepat untuk Zii Jia menyinar dan bukan 2028. Hujahnya adalah permainan acara perseorangan lelaki semakin pantas serta menuntut fizikal terbaik dan berasa bintang negara itu mungkin akan berdepan kesukaran menyambung cabaran apabila menjangkau usia 30 tahun kelak.
Dia juga berjaya membentuk satu persefahaman baik dengan anak didiknya itu sejak setahun lalu apabila segala fokus dan keringat mereka terarah kepada misi pingat Olimpik di Paris. Nampaknya ini adalah hasil pada hari ini.
Zii Jia seperti sudah akur dengan perkembangan ini serta sentuhan Tat Meng yang boleh diibarat sebagai dedikasi seorang ayah mahukan anaknya berjaya.
Pemain No.1 negara ini sedang mengalami satu perubahan positif dalam hidupnya. Marilah kita bersama-sama membantu misi penting jagoan ini demi negara.

“Saya sudah banyak berubah dari segi mental. Saya lebih tenang sekarang dan situasi ini memberi satu rangsangan bagi menghadapi cabaran di Sukan Olimpik,” kata Zii Jia dalam satu kenyataan di portal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas menjuarai gelaran perseorangan lelaki di Terbuka Australia, minggu lalu.
“Ada banyak petanda positif dapat dilihat pada lima minggu lalu. Saya mahu berehat, mendapatkan semula kekuatan dan memulakan misi persiapan ke Paris 2024.”
Zii Jia jelas semakin selesa dan seronok dengan permainannya. Dia disebut sudah mula menjelmakan tahap persembahan terbaik seperti mana pernah disajikan ketika menjuarai gelaran All England pada 2021. Wajahnya tidak lagi sayu seperti dulu apabila kerap terkandas dalam pusingan pertama kejohanan.
Dalam final di Terbuka Australia, minggu lalu, jaguh negara dan pemain No.7 dunia itu menewaskan pilihan kedua, Kodai Naraoka 21-19, 11-21, 21-18 dalam tempoh permainan 78 minit dengan aksi penuh mantap, lebih tersusun serangan dan bertahan, tambahan pukulan smash yang makin padu.
Dalam tempoh lebih sebulan ini, Zii Jia adalah pemain tunggal yang hadir memburu tiga gelaran dalam perlawanan akhir. Walaupun dia gagal mengekalkan momentum sama di Terbuka Indonesia namun dia tetap berjaya mara ke suku akhir.
Mungkin ada pengkritik yang akan berkata dia menang dalam kejohanan Jelajah Dunia Super 500 di Australia dan bukan 750 atau pun 1000. Tapi itu bukan persoalannya. Apa yang penting dia dapat merasai suasana selaku juara bagi meningkatkan keyakinan untuk mengulangi rentak sama di Olimpik.
Mulai sekarang mentaliti Zii Jia harus berpusat kepada misi mengejar kemenangan. Dia juga kini menjadi satu lagi harapan tambahan kontinjen negara untuk buruan emas selain Datuk Azizulhasni Awang dalam acara berbasikal trek dan pasangan beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Majulah sukan untuk negara!





Add Comment