Bola Sepak Rencana Terkini

JIKA anak di sekolah ‘kurang bermaya’ gara-gara tidak dapat makan dan minum yang cukup, jangan salahkan guru atau pun pentadbiran sekolah.

Adalah lebih baik kepincangan itu ditujukan kepada ibu bapa sebagai penjaga. Malah, mereka adalah sumber utama dalam konteks ini.

Senario seumpama ini juga sama dengan perkembangan bola sepak negara, lebih khusus krisis dalam liga elit kita. Jika pengurusan pasukan dapat menjaga baik kebajikan pemain dan menguruskan soal kewangan secara mantap kenapa pula perlu ada masalah tunggakan gaji.

Siapa yang salah di sini? Pengurusan pasukan terbabit atau pun pentadbir Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Baru-baru ini, tunggakan gaji dikaitkan dengan Sri Pahang FC, Sabah FC dan Perak FC. Terdahulu, Kedah Darul Aman FC juga terjebak dalam kemelut sama.

Rasanya, pemimpin tertinggi yang menguruskan pentadbiran pasukan negeri atau kelab harus tahu memikul peranan masing-masing. Jika kurang peka boleh belajar daripada pasukan lawan yang berjaya menepati era bola sepak profesional.

Kecuali ada isu salah guna tabungan, tidak mungkin kepincangan ini berlaku melainkan kos bulanan bagi menguruskan pasukan, melambung tinggi secara mendadak.

Foto: Ihsan AFC

Kita pun kurang pasti sama ada krisis ekonomi juga menghimpit liga elit di negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura atau pun Vietnam, umpamanya. Apa yang pasti pasukan kebangsaan dari negara ini tetap menyerlah. Indonesia pula sudah mula gegar – bukan sahaja Asia Tenggara tapi di pentas Asia.

Satu ketika dulu, persatuan negeri tidak banyak menghadapi masalah kerana sumber kewangan yang kuat dengan bantuan kerajaan negeri. Tambahan, hubungan rapat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut membantu. Ia memudahkan proses tunggakan gaji dibereskan.

Masalah ini bukan sesuatu yang baru dalam kancah liga bola sepak tempatan. Ia pernah berlaku sedekad lalu atau pun dua atau tiga dekad lalu.

Peminat tanah air juga akan tertanya-tanya kenapa mereka masih disajikan dengan episod sama pada ketika era profesional di negara ini sudah bermula sejak 1993.

Bukan hanya ‘pasukan miskin’ yang dirundung malang ada juga beberapa pasukan elit juga berdepan krisis sama. Tapi, pasukan terbabit pada ketika itu bernasib baik kerana kantung FAM sentiasa kembung.

Badan induk itu kerap menjadi penyelamat dan liga akan kembali lancar. Namun, situasi agak berubah pada ketika ini. Mungkin juga soal penajaan tidak lagi sama seperti dulu.

Apa pun, ini bukan satu alasan pada hari ini kerana setiap pasukan atau kelab harus mencari ilham dalam era profesional. Pemimpin dan pengurusan tertinggi pasukan perlu cari dana sendiri tanpa terlalu bergantung kepada ihsan kerajaan pusat atau pun MFL, umpamanya.

Daripada apa yang kita tahu soal gaji pemain adalah tugasan majikan (persatuan atau kelab negeri) manakala MFL berfungsi sebagai badan yang membantu atau menasihatkan cara menyelesaikan masalah dihadapi pasukan dalam liga kelolaan mereka.

Ia sebahagian daripada tanggungjawab mereka bagi memastikan kelancaran dan mutu permainan bola sepak di Liga Super, umpamanya sentiasa dapat dikekalkan.

Ketika sama mereka juga mendidik persatuan bola sepak negeri dalam pelbagai aspek menyentuh bola sepak. Ini termasuk soal pengurusan dinamik dan lebih penting bagaimana mahu menguruskan kewangan masing-masing dengan cekap dan cermat agar ia dapat digunakan dengan cara terbaik tanpa mencetus kepincangan kepada kebajikan pemain.

MFL diasaskan pada 3 Februari 2015 – kira-kira sembilan tahun lalu. Terdahulu ia dikenali sebagai Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP). Syarikat ini beroperasi dan menguruskan semua entiti dalam bola sepak negara dibawah kawalannya.

Ini termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala MFL, Piala Cabaran Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, Piala Emas Raja-Raja, Liga Perdana Futsal Malaysia dan Piala Futsal. Matlamatnya adalah untuk transformasi dan melonjakkan bola sepak Malaysia ke tahap lebih baik.

Agak sedih melihat senario bola sepak di negara ini ketika kualiti dalam liga utama disebut sudah memberikan satu gambaran positif bagi masa depan bola sepak tanah air.

Pada ketika ini persaingan dalam Liga Super dikatakan makin kurang. Jika musim lalu kita melihat kelibat 18 pasukan, musim ini difahamkan sudah berkurang kepada 13. Apakah menjelang musim baru, angka ini akan terus merosot atau sebaliknya?

Apa yang pasti pasukan tersohor seperti JDT, Selangor atau Terengganu akan terus beraksi kerana memiliki pengurusan kewangan yang cekap dan mantap serta menepati kriteria.

Percayalah, jika liga elit sesebuah negara dipalit masalah berpanjangan hanya kerana soal seperti ini, bererti ia akan menjejaskan kekuatan pasukan kebangsaan. Ringkasnya, kejayaan Liga Super, umpamanya akan mencerminkan kemampuan pasukan negara di pentas antarabangsa.

Mungkin MFL boleh meningkatkan lagi tahap bimbingan mereka, namun segala-galanya tetap terletak pada kecekapan dan komitmen pengurusan pasukan. Hidup mati bola sepak negara bergantung kepada kekuatan liga elit dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk bertindak sebagai satu keluarga demi menjaga maruah.

Majulah sukan untuk negara!


Add Comment

Click here to post a comment