
BERSEMANGAT rasanya mendengar kata-kata yang terbit daripada mulut pasangan muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sejurus tamat perlawanan akhir beregu lelaki di kejohanan badminton Terbuka Indonesia, tempoh hari.
Apa yang terpancar pada wajah masing-masing adalah satu sifat mahu segera bangkit menebus kehampaan itu selepas akur kecundang kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi final 55 minit yang menarik di Istora Senayan.
Kejutan dicipta mereka di Jelajah Dunia Super 1000 itu membanggakan komuniti badminton kita – bukan sahaja gah layak naik ke podium, malah mengutip hadiah wang yang lumayan – mungkin ganjaran terbesar buat mereka sepanjang kerjaya profesional.
Keringat pasangan No.15 dunia itu berbalas apabila membawa pulang hadiah RM213,000 manakala lawan mereka, Wei Keng-Wang Chang ceria dengan habuan RM450,000.
“Persembahan kami tidak seburuk mana tapi kami tetap kecewa gagal untuk menang gelaran di sini (Jakarta). Kami tewas dari segi pengalaman kepada lawan.
“Kami tidak boleh puas hati dengan keputusan ini. Kami perlu kembali berlatih lebih gigih. Kami perlu bekerja keras lagi untuk kejohanan yang akan dihadapi kelak,” kata mereka dalam kenyataan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Senario ini juga harus menerbitkan rasa cemburu pasangan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang ‘nampak jinak dan kurang bertenaga’ dalam halangan mereka apabila terkandas di pusingan kedua. Ada juga baiknya mereka diingatkan cabaran Sukan Olimpik di Paris hanya berbaki dua bulan lagi.
Kali terakhir pasangan beregu lelaki negara muncul juara di Terbuka Indonesia adalah menerusi Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari pada edisi 2008.
Tidak dinafikan Wei Chong-Kai Wun ada bakat dan potensi besar untuk ditonjolkan lagi. Cuma mereka perlu menimba pengalaman, sedia belajar kesilapan dan lebih konsisten dalam permainan mulai sekarang.
Ini adalah kali pertama mereka menyinar dalam Super 1000 selepas gagal melepasi pusingan pertama pada lima percubaan lalu. Lee Zii Jia kekal pemain terakhir negara untuk menjuarai siri itu apabila mengungguli kejohanan All England di Birmingham pada 2021.
Selepas pencapaian terpuji di Jakarta, Wei Chong-Kai Wun juga perlu ada tabiat untuk tampil memburu gelaran dan ia boleh bermula pada Siri Super 300, 500 atau 750 selepas ini. Selagi dapat memenangi trofi sekalipun pada kejohanan kecil ia tetap akan menyuntik selera dan keyakinan baru bagi mereka.
Kelebihan mereka adalah corak pemainan agresif yang gemar menerpa ke jaring untuk menyerang dan memiliki pukulan smash padu. Ini senjata mereka ketika pintar juga mengubah taktik permainan jika kerap diasak. Cuma faktor pengalaman dan pendedahan pada tahap tertinggi masih kekurangan.
Ada juga satu realiti tergambar daripada pencapaian pasangan ini betapa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak perlu memberi fokus secara kerap kepada pencapaian Aaron-Wooi Yik.

Mungkin Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky agak lega sedikit dengan perkembangan ini kerana selain kebangkitan Wei Chong-Kai Wun, dua lagi pasangan muda negara – Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Haikal Nazari-Chong Hon Jian juga memberi gambaran positif mereka ada ruang kemajuan untuk mencabar pasangan utama dunia.
Sze Fei-Izzuddin tampak konsisten kebelakangan ini dan berpandu kepada corak permainan jelas mereka lebih baik berbanding Wei Chong-Kai Wun. Ini satu perkembangan baik untuk kem badminton negara dalam usaha mencetus saingan sengit sesama mereka.
Jika tiga pasangan ini berjaya menonjol dengan beberapa keputusan terpuji, tahun ini tidak keterlaluan mereka boleh dilabel sebagai prospek baru, khususnya cuba layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles. Kita pun belum pasti selera Aaron-Wooi Yik dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Anehnya pada saat kebangkitan tiga pasangan ini – Aaron-Wooi Yik pula nampak hilang sengat secara tiba-tiba dengan aksi kurang memberangsangkan dalam tiga Jelajah Dunia lalu iaitu Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.
Sejak menyinar dalam kancah Piala Thomas di Chengdu, Mei lalu, pasangan No.5 dunia itu terkandas pada halangan suku akhir di Masters Malaysia dan Terbuka Singapura sebelum tersingkir pada pusingan kedua Super 1000 Terbuka Indonesia.
Apa sudah jadi? Seharusnya inilah masanya mereka harus menonjol dan tunjuk taring ketika temasya Olimpik berbaki lebih dua bulan lagi.
Pasangan harapan kita itu kerap disebut-sebut ada kemampuan untuk menyinar di pentas kejohanan utama dunia seperti menjuarai Kejohanan Dunia dan pingat gangsa Sukan Olimpik 2020. Biar kita tunggu dan lihat apakah skrip sama berulang.
Tuah dipentas terbesar dunia tidak akan sentiasa memihak mereka melainkan usaha yang lebih gigih dan konsisten di gelanggang. Aaron-Wooi Yik harus menyoal diri sendiri mengenai kepincangan dilalui mereka ketika ini.
Apa yang pasti mereka akan bergelut habis-habisan kerana pencapaian oleh beberapa pasangan elit dunia dari negara lain, khasnya dari China, Jepun, Korea dan India amat menakjubkan ketika digamit panggilan Paris.
Majulah sukan untuk negara!





Add Comment