Antarabangsa Bola Sepak Harimau Malaya Terkini

Isu pemalsuan dokumen : Nasib Harimau Malaya berbeza dengan Timor Leste

AFC pernah menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL)

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak tidak akan menerima nasib seperti Timor Leste susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor Paul berkata, walaupun kes seakan sama, namun situasi yang dihadapi FAM dan Timor Leste adalah berbeza.

Ujarnya, apa yang berlaku terhadap Timor Leste sebelum ini adalah kesalahan yang dilakukan mereka dikesan selepas kejohanan berakhir dan atas sebab itu mereka dikenakan hukuman bagi kejohanan seterusnya.

Katanya, Artikel 25 Kod Disiplin AFC dan Artikel 56 jelas menunjukkan mengenai keputusan atau hukuman yang Jawatankuasa Disiplin boleh ambil.

“Peraturan itu tidak memberi kuasa kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk memberi hukuman lebih daripada apa yang mereka boleh beri. Jadi, kes Timor Leste itu, pertandingan sudah habis baru kita jumpa kesalahan.

“Apabila pertandingan sudah habis, anda tak boleh hukum dia (Timor Leste) ke belakang, anda kena hukum ke depan. Sebab itu Timor Leste dilarang bermain dalam edisi (kelayakan Piala Asia) yang seterusnya.

“Harimau Malaya pula situasi dia lain. Perkara ini dijumpai dalam pertandingan sedang berjalan. Tidak boleh kata Timor Leste dengan FAM sama, situasi tak sama,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.

Untuk rekod, AFC pernah menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo didapati memalsukan dokumen bagi kewarganegaraan pemain Timor Leste.

Namun, merujuk kepada artikel 25 Kod Disiplin AFC, hanya menyebut tindakan pembatalan perlawanan yang membawa kepada keputusan 3-0 diberikan kepada pasukan lawan manakala Artikel 56 berkait tindakan atau denda ke atas pemain dan persatuan.

Berdasarkan artikel itu, ia memberi bayangan bahawa FAM tidak akan digantung dan perkara itu pernah dinyatakan Windsor dalam laporan media sebelum ini.

Selain itu, Windsor menjelaskan bahawa Jawatankuasa Tatatertib perlu membuat keputusan atau mengenakan hukuman berdasarkan peraturan sedia ada kerana apa sahaja hukuman yang dibuat, pihak yang dihukum itu boleh kemuka rayuan.

“Kita serahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk meneliti fakta. Sebab semua keputusan yang Jawatankuasa Tatatertib buat boleh dirayu. Selepas rayuan, kes itu juga boleh dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Jadi, tidak boleh dibuat keputusan sembarangan, mereka mesti membuat keputusan berdasarkan kuasa di bawah kod tatatertib. Keputusan hanya boleh dibuat dalam lingkungan kuasa yang diberikan, tidak lebih dan tidak kurang.

“Jika hukuman atau keputusan itu dianggap berlebihan, pihak yang terbabit juga boleh membuat rayuan. Oleh itu, mereka perlu berhati-hati. Mereka mempunyai kuasa, tetapi kuasa itu terhad kepada apa yang dinyatakan dalam kod (peraturan),” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading