Bola Sepak Komentar

Magis ‘Laksamana’ Tan Cheng Hoe sentiasa diingati


Oleh: MOHD FARIQ

SEMALAM heboh laman media sosial apabila kita semua dikejutkan dengan keputusan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Boleh dikatakan satu negara rancak berbahas, berbincang dan berborak mengenai tindakan Cheng Hoe di mana ada sebilangan berpendapat bekas jurulatih Kedah itu seharus kekal terdahulu di kerusi tersebut.

Mungkin tindakan spontan Cheng Hoe itu berpunca daripada prestasi pasukan kebangsaan di Piala AFF Suzuki di mana kita telah terkandas di peringkat kumpulan selepas dikalahkan 1-4 kepada musuh tradisi kita, Indonesia bulan lalu.

Sejujurnya bagi penulis, penulis mahu Cheng Hoe terus kekal mengemudi skuad Harimau Malaya di mana secara keseluruhan prestasi terutama dalam kempen kelayakan Piala Asia, beliau telah membuktikan kebolehannya tersendiri.

Ini kerana Malaysia telah berjaya menduduki tangga ketiga Kumpulan G dengan kelebihan 12 mata dan membolehkan pasukan negara akan beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Apapun kita semua harus menghormati keputusan yang telah pun dibuat oleh Cheng Hoe di mana penulis cukup optimis jurulatih berkualiti seperti beliau akan sentiasa akan mendapat peluang berbakti kepada negara pada masa akan datang.

Persahabatan penulis bersama Cheng Hoe bukan bermula semalam sebaliknya penulis telah mula mengenali beliau sejak 1993 di mana ketika itu beliau merupakan seorang atlet yang berdisiplin tetapi dalam masa yang sama sentiasa mesra dengan wakil media.

Gerak tutur Cheng Hoe sentiasa sopan dan penulis berani mengatakan beliau tidak pernah membuat kenyataan kontroversi di mana sosok jurulatih ini sentiasa kekal tenang di depan lensa media.

Tidak kira apa keputusan yang dihadapinya, Cheng Hoe kekal berani mempertahankan kedudukan anak-anak buahnya dan tindakan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya membuktikan betapa beliau menunjukkan rasa bertanggungjawab kepada negara.

Seperti penulis katakan tadi, penulis yakin Cheng Hoe akan terus kekal berada di dalam industri bola sepak negara di mana beberapa kelab akan mengintai khidmat beliau nanti di masa akan datang.

Namun penulis juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih serta selamat maju kepada kepada Cheng Hoe di atas khidmat bakti beliau sepanjang mengemudi pasukan kebangsaan.

Benarlah kata orang, kalau takut ombak jangan berumah di tepi pantai.

Akhir kata daripada penulis, seluruh penyokong Harimau Malaya akan sentiasa mengenangi jasa dan nama legenda Laksama Tan Cheng Hoe dalam sejarah bola sepak negara.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: