Oleh: JJFIRDAUS
MAHARAJA Naruhito merasmikan pembukaan temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam upacara pembukaan bertemakan ‘We Have Wings’ yang berlangsung di Stadium Nasional Tokyo dalam suasana penuh warna warni dan penuh bersemangat.
Kegembiraan terpancar di wajah setiap atlet yang membuat perarakan masuk dan keazaman jelas terlihat bagi mereka yang mahu membuktikan bahawa kekurangan mereka bukanlah penghalang untuk berjaya.
Ia juga melambangkan kejayaan para atlet ini melawan kesukaran yang dihadapi akibat dari pandemik Covid-19 yang menjejaskan sesi latihan dan terpaksa berhadapan dengan normal baharu dalam pertandingan serta temasya yang tertangguh selama setahun.
The moment the #Paralympics began!#Paralympics #Tokyo2020 #OpeningCeremony pic.twitter.com/BPuRqPnZpt
ā Paralympic Games (@Paralympics) August 24, 2021
Meskipun berlangsung tanpa penonton dan hanya dihadiri dif dif kehormat setiap negara, upacara pembukaan rasmi ini tetap meriah dengan perarakan masuk atlet setiap negara yang bertanding dan juga beberapa persembahan.
Sebanyak 163 negara mengambil bahagian dalam 22 disiplin sukan dengan 539 acara yang merangkumi 4,537 orang atlet yang bakal berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September dengan dua acara baru diperkenalkan iaitu badminton dan taekwondo.

Kontinjen Paralimpik Malaysia berarak penuh bergaya dengan busana merah, kuning dan putih diketuai jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet atletik Siti Nor Iasah diberi penghormatan sebagai pembawa bendera diikuti 22 atlet yang membawa cabaran Malaysia pada temasya kali ini.

Sebanyak 539 pingat emas menjadi rebutan atlet terbaik dari seluruh dunia dan diharap temasya paralimpik kali ini berjaya memberi keputusan yang membanggakan sebagaimana yang dilakukan pada Temasya Paralimpik Rio pada 2016 apabila kontinjen negara membawa pulang tiga pingat emas.
Add Comment