Antarabangsa Permotoran Terkini

Pengalaman berharga di GP Hungary, Hakim Danish tekad bangkit di Grand Prix Republik Czech

Berlaku pelanggaran bersama pelumba CODE Motorsports, Ruche Moodley di selekoh lima pada pusingan pertama

GAGAL menamatkan perlumbaan ekoran kemalangan pada pusingan pertama, Hakim Danish Ramli menganggap aksi di Grand Prix (GP) Hungary sebagai satu pengalaman berharga dalam proses pembelajarannya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3.

Hakim Danish yang hadir ke Litar Balaton Park dengan keyakinan tinggi selepas mencipta podium sulung kariernya di GP Itali minggu lalu berdepan hujung minggu yang mencabar ketika turun buat kali pertama di litar tersebut.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu bergelut untuk menyesuaikan diri dengan karakter litar berkenaan sebelum gagal mara ke sesi Kelayakan Kedua (Q2) dan terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-19.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Terengganu itu tetap optimis mampu merapatkan jurang dengan kelompok hadapan selepas menunjukkan peningkatan catatan masa sepanjang sesi latihan dan kelayakan.

Sebaik perlumbaan bermula, Hakim Danish tampil agresif dalam usaha memperbaiki kedudukan ketika bersaing dalam kelompok tengah yang cukup padat.

Namun, hasratnya untuk mencabar kelompok mata tidak kesampaian apabila berlaku pelanggaran bersama pelumba CODE Motorsports, Ruche Moodley di selekoh lima pada pusingan pertama.

Insiden tersebut menyebabkan kedua-dua pelumba terjatuh sekali gus memaksa Hakim Danish menamatkan perlumbaan lebih awal tanpa sebarang kutipan mata kejuaraan.

Walaupun keputusan itu mengecewakan, pelumba berusia 18 tahun itu memilih untuk melihat pengalaman di Hungary sebagai satu lagi proses pembelajaran penting dalam musim pertamanya di Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3.

Hakim Danish kini mengalihkan fokus kepada Grand Prix Republik Czech di Litar Automotodrom Brno dari 19 hingga 21 Jun ini dengan misi untuk bangkit semula terutama kembali mengutip mata kejuaraan.


Add Comment

Click here to post a comment