
PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen, rebah secara tiba-tiba ketika aksi persahabatan menentang Ukraine awal pagi tadi, lima tahun selepas pernah mengalami serangan jantung ketika saingan Euro 2020.
Persatuan Bola Sepak Denmark memaklumkan pemain berusia 34 tahun itu berada dalam keadaan sedar dan stabil selepas menerima rawatan kecemasan di atas padang.
Insiden berlaku pada minit ke-64 perlawanan ketika Denmark mendahului Ukraine 2-1.
Pasukan perubatan segera bergegas ke padang bagi memberikan bantuan sebelum pengadil mengambil keputusan menghentikan perlawanan kira-kira 15 minit kemudian.
Doktor pasukan Denmark, Morten Boesen, berkata pemain itu sempat tidak sedarkan diri seketika sebelum kembali pulih dengan pantas.
“Christian berada dalam keadaan baik dan berjalan keluar dari padang dengan sendiri. Setakat yang saya lihat, alat perentak jantungnya berfungsi seperti sepatutnya.
“Dia tidak sedarkan diri buat seketika tetapi kembali sedar dengan cepat dan kami dapat berkomunikasi dengannya. Kini dia akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Eriksen menggunakan alat perentak jantung sejak mengalami serangan jantung ketika perlawanan Kumpulan B Euro 2020 menentang Finland pada Jun 2021.
Insiden itu menyebabkan dia terpaksa berehat lebih enam bulan daripada arena bola sepak.








Add Comment