Paralimpik Tokyo 2020 Semasa

Mohd Faizol dan Ziyad terima keputusan jawatankuasa


Oleh : SUBKHI SUDARJI

JURULATIH lontar peluru negara, Mohd Faizol Harun dan jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli akan memastikan apa yang berlaku di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak akan lagi berulang pada mana-mana penyertaan kejohanan di masa akan datang.

Menurutnya, sebagai seorang jurulatih dan individu rapat dengan Ziyad dia berlapang dada dan menerima keputusan ditetapkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman dalam kes ini.

“Seperti sedia maklum sebelum ini, bahawa saya bertanggungjawab ke atas perkara ini dan sebagai seorang jurulatih dan orang paling dekat dengan Ziyad, kami bersetuju untuk bertanggungjawab sepenuhnya dan pastikan perkara ini tak berulang lagi.

“Saya juga memohon maaf dan berharap supaya perkara ini tidak lagi diperbesarkan. Sekiranya diberikan kesempatan lagi, saya akan melakukan yang terbaik untuk Ziyad dalam pertandingan akan datang,” ujarnya dalam satu hantaran video oleh Majlis Sukan Negara (MSN), sebentar tadi.

Semalam, Jawatankuasa Siasatan Dalaman dalam laporan yang diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan Ziyad bersama Mohd Faizol dilaporkan terbukti lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya dalam acara final lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Ahmad Faizal  berkata, jawatankuasa siasatan dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah mendapati jurulatih dan atlet berkenaan tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: